Thursday 17 May 2018

Suami, isteri hanya ceria seketika temui peti harta



NEW YORK: Saat gembira pasangan suami isteri menemui peti harta berisi wang dan barang kemas di halaman belakang rumah mereka tidak kekal lama selepas mendapati ia milik jiran mereka yang dirompak beberapa tahun lalu.
Mereka terkejut apabila menemui peti berkenaan tertanam ketika membersihkan halaman belakang rumah mereka di Pulau Staten, New York, minggu lalu.
Menurut Daily Mail yang memetik CBS2NY, mereka menanam pokok baru menggantikan pokok yang dimakan rusa apabila menemui peti berkenaan.
Menurut Maria Colonna-Emanuel dan suaminya, Matthew, peti besi itu mengandungi wang tunai berjumlah AS$52,000 (RM206,091), barang kemas dan batu permata, termasuk delima.
“Kami terkejut dan pada masa yang sama, teruja mendapati peti besi itu mengandungi barang berharga, termasuk puluhan cincin berlian, emas dan jed,” kata Matthew.
Namun, dalam peti berkenaan mereka juga menemui sekeping kertas bertulis satu alamat dan selepas membuat carian, mendapati alamat berkenaan berdekatan dengan rumah mereka.
Mereka mengunjungi rumah jiran berkenaan dan bertanya sama ada mereka pernah dirompak atau tidak.
“Pasangan itu beritahu rumah mereka pernah dirompak beberapa tahun lalu,” kata Matthew.
Jabatan Polis New York mengesahkan rumah jiran berkenaan dirompak pada 2011 dan antara barang yang hilang ialah peti besi mengandungi wang tunai serta barang kemas.
Matthew dan isterinya kemudian memulangkan peti besi dan kandungannya kepada jiran terbabit.
“Ada orang bertanya kenapa kami memulangkannya. Bagi saya itu soalan itu tidak perlu kerana barang berkenaan bukan milik kami,” kata Maria.

-Metro

No comments: