Menurut laporan Mail Online, kejadian itu berlaku di M62 dan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan menghubungi talian 999 sebaik sahaja melihat pasangan berkenaan.
Namun apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, mereka mendapati lelaki dan wanita terbabit hanyalah pelakon ‘zombie’ yang dalam perjalanan pulang setelah selesai menjalani penggambaran drama dan tidak sempat untuk membersihkan solekan mereka.
Steve Lowe, 60 dan Diane Hol­den adalah pelakon tambahan siri komedi dalam talian Dead Town yang menjalani penggambaran di sini.
Menurut Lowe, insiden selama 15 minit tersebut menjadikan mereka terkenal apabila akhbar tempatan dan internet menyiarkan detik-detik yang melucukan itu.
“Saya telah bermain dram selama 40 tahun dan tidak pernah sekalipun nama saya disiarkan dalam akhbar, tetapi apabila saya memakai pakaian zombie, gambar kami terus viral di internet,’’ katanya.
Jelas Lowe, mereka tidak tahu siapa yang membuat aduan, tetapi hanya meyedari insiden itu selepas ditahan polis semasa dalam perjalanan pulang.
“Polis yang menahan kami terus ketawa sebaik sahaja kami menurunkan cermin tingkap kereta. Dia meminta untuk bergambar dengan kami kerana yakin tiada anggota polis di balai polis yang akan percaya tentang kejadian ini jika tiada sebarang bukti,’’ ujarnya.
Pasangan itu menyifatkan insiden tersebut merupakan hari yang paling melucukan dan menyerlahkan kemesraan penduduk sekitar.