Thursday 29 September 2016

Tipu duit 'beranak'



Probolinggo, Indonesia: Pemimpin satu kumpulan agama yang mendakwa mempunyai kuasa ghaib dan mampu menggandakan wang ditangkap polis kerana disyaki menipu serta terbabit dalam pembunuhan pengikutnya yang menjadi saksi polis.
Kanjeng Dimas yang memimpin satu kumpulan yang dikenali sebagai Padepokan Kanjeng Dimas ditahan pada 22 September lalu di rumahnya di Probolinggo.
Beratus-ratus anggota polis yang lengkap dengan kereta perisai menyerbu rumah pemimpin itu sebelum menahannya.
Polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas sekumpulan pengikut Kanjeng cuba menghalang pihak berkuasa.
Jurucakap polis Probolinggo, Agus Andrianto berkata, Kanjeng pada mulanya disiasat susulan laporan daripada beberapa individu yang mendakwa ditipu lelaki itu.
Kanjeng yang mempunyai ribuan pengikut mendakwa mempunyai kebolehan untuk menggandakan wang.
Beberapa video menunjukkan Kanjeng menggandakan wang dan sering bergambar dengan timbunan wang banyak tersebar di Internet.
“Beberapa individu membuat laporan polis selepas menyerahkan sejumlah besar wang kepada Kanjeng supaya wang mereka digandakan tetapi akhirnya ditipu.
“Ketika siasatan dijalankan dua saksi polis yang juga pengikut Kanjeng ditemui mati dibunuh,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar memberitahu, suspek dianggap sebagai guru agama oleh pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai golongan.
“Aktiviti penipuan suspek sudah lama berlaku dan dia sering menggunakan agama untuk menipu serta memperdayakan mangsa.
“Buat masa ini polis menyiasat kes pembunuhan berkenaan sebelum meneliti kes penipuan yang dilakukannya,” katanya.

-Metro

No comments: