Tuesday 30 June 2015

Kucing ketua stesen kereta api mati

TOKYO – Rakyat negara ini meratapi kematian seekor kucing terkenal dikenali sebagai Tama yang dilantik sebagai Ketua Stesen Kereta Api Kishi di barat Jepun selepas haiwan itu mati disebabkan kegagalan fungsi jantung pada 22 Jun lalu.

Tama dinamakan sebagai ketua stesen pada 2007 dan memakai pakaian serta topi khas sambil duduk di atas pagar tiket bagi menyambut penumpang yang tiba atau berangkat menaiki kereta api.

Keletah kucing betina comel itu berjaya menarik perhatian pelancong sehingga ke peringkat antarabangsa dan menyumbang kepada pemulihan Syarikat Kereta Api Elektrik Wakayama yang hampir muflis dan juga ekonomi penduduk setempat.

Dalam upacara pengebumian mengikut kepercayaan Shinto di stesen tersebut kelmarin, Tama yang sempat menyambut ulang tahun kelahiran ke-16 pada 29 April lalu turut diangkat sebagai dewi bagi penganut agama tersebut.

Sebuah tapak bagi memperingati Tama di hadapan stesen Kishi dipenuhi jambangan bunga, tin ikan tuna dan bermacam hadiah daripada peminat yang datang dari seluruh Jepun untuk mendoakan kucing tersebut.

Presiden syarikat kereta api itu, Mitsunobu Kojima mengucapkan terima kasih kepada Tama dan merancang mengabadikan kenangan kucing itu di sebuah tapak persemadian kucing berhampiran pada bulan hadapan. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3eX5sXtdd
Hakcipta terpelihara

No comments: