Thursday 4 June 2015

Mati mahu pinggul besar

New York: Seorang wanita berusia 34 tahun mati selepas mendapatkan suntikan untuk membesarkan pinggul daripada seorang doktor tidak berlesen di tingkat bawah tanah sebuah rumah di sini.

Kelly Mayhew dari Suitland, Maryland, ditemani ibunya untuk mendapatkan suntikan itu daripada wanita yang diperkenalkan oleh seorang rakannya.

Wanita itu menyuntik silikon ke dalam pinggul Kelly tetapi ketika prosedur itu, mangsa menggelupur kerana sukar bernafas, kata ibunya kepada polis.

Si ibu mula memberi bantuan kecemasan kepada anaknya dan meminta wanita berkenaan menelefon ambulans tetapi dia lari meninggalkan rumah berkenaan.

Ibu Kelly yang cemas menelefon rakan anaknya yang memperkenalkan wanita itu kepada mereka, tetapi dia tidak menjawab, lapor akhbar Daily News.

Petugas kecemasan yang tiba mendapati Kelly dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia diberi bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital, tetapi disahkan mati ketika dalam perjalanan.

Doktor kini berusaha memastikan punca kematiannya sementara polis melancarkan siasatan, termasuk menguji bahan yang ditemui dalam jarum suntikan itu.

Menurut polis, mereka masih memburu suspek dan setakat ini tidak pasti sama ada sudah menemui rakan Kelly yang memperkenalkannya dengan wanita itu.

Kematian akibat menyuntik silikon untuk membesarkan pinggul pernah dilapor berlaku di Alabama, Georgia, Florida, Pennsylvania, Nevada dan New York.

Di Mississippi tahun lalu, seorang wanita, Tracey Lynn Garner didapati bersalah menyuntik bahan itu pada Karima Gordon, 37, yang mati beberapa hari kemudian.

Dia dihukum penjara seumur hidup.

Seorang lagi wanita yang bertanggungjawab menyebabkan kematian serupa di Florida, kini menanti untuk dibicarakan.

Oneal Ron Morris dituduh bertanggungjawab terhadap kematian Starka Nuby selepas menyuntiknya dengan silikon.

Dia berdepan hukuman penjara 100 tahun jika sabit kesalahan.

-Metro

No comments: