Monday 10 September 2012

Pahlawan Syurga


Abu Ayub al-Ansari pembela Rasulullah
10/09/2012 - 07:53:32 AM   
 
Sewaktu utusan Madinah pergi ke Makkah untuk mengangkat sumpah setia atau baiah yang diberkati terkenal dengan 'Baiah Aqabah kedua', Abu Ayub Al-Ansari termasuk antara 70 orang Mukmin yang menghulurkan tangan kanan mereka ke tangan kanan Rasulullah serta berjabatnya dengan kuat, berjanji setia menjadi pembela.

Rumah pilihan Rasulullah
Abu Ayub al-Ansari Khalid bin Zaid, cucu Malik bin Najar, adalah insan yang dilimpahi nasib yang baik kerana ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, rumahnya telah dipilih menjadi tempat tinggal sementara Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW memilih untuk tinggal di tingkat bawah rumah Abu Ayub al-Ansari tetapi apabila memikirkan dirinya berdiri dan tidur di tempat yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari terasa menggigil.

Beliau kemudian dengan penuh adab mempelawa Baginda tinggal di tingkat atas dan Baginda bersetuju. Nabi tinggal di rumah Abu Ayub al-Ansari hingga Masjid Nabawi dan biliknya di sebelah masjid.

Sejak orang Quraisy berniat jahat terhadap Islam dan merancang untuk menyerang tempat hijrahnya Baginda di Madinah, Abu Ayub al-Ansari mengalihkan aktivitinya berjihad ke jalan Allah bermula dengan Perang Badar.

Sedia korban harta, nyawa

Ringkasnya di semua medan tempur, dia tampil sebagai pahlawan berani yang bersedia mengorbankan harta serta nyawa untuk Allah Rabbul Alamin. Malah, sesudah Rasulullah wafat pun beliau tidak pernah ketinggalan berjuang di medan perang.

Sewaktu berlaku pertikaian antara Ali dan Muawiyah, Abu Ayub al-Ansari berdiri di pihak Ali tanpa ragu-ragu kerana dialah imam yang dibaiah oleh kaum Muslimin.

Selepas kematian Ali dan Muawiyah menjadi Khalifah, Abu Ayub al-Ansari menyendiri, berzuhud dan bertakwa kepada Allah. Tidak ada apa diharapkan daripada dunia selain tempat berjuang bersama pejuang lain.

Abu Ayub al-Ansari memohon kepada Allah untuk syahid dalam peperangan dan ketika turut serta dengan barisan tentera Islam menuju Konstantinopel, beliau luka parah.

Apabila ditanya panglima pasukan waktu itu, Abu Ayub al-Ansari memberitahu apabila tiba ajalnya nanti beliau ingin dikebumikan sejauh jarak dapat ditempuh ke arah musuh.

Ternyata itulah yang diperoleh beliau dan beliau dikebumikan di lokasi di mana tentera Islam berjaya mengalahkan musuh. Itulah Abu Ayub al-Ansari yang berwasiat jasadnya dibawa ke medan perang hingga tiba di tempat tentera Muslim mencapai kemenangan.

Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga Jilid 2
Sumber: Berita Harian

No comments: