Monday 12 December 2011

Nostalgia Kehidupan (2)

12 Disember 2011 :Mengimbau kehidupan awal persekolahan dipertengahan 60an segalanya serba ringkas dan lambat. Kehidupan bagai tidak bergerak.  Waktu malam dihiasi dengan lampu minyak tanah dan rengekkan radio transistor yang hanya boleh didengari dengan memekapkan ke telinga. Bunyi cengkerik menjadi irama indah mendodoi lena hingga ke pagi diselangi bunyi pungguk merindu bulan. Sayup-sayup irama lagu dendangan penyanyi angkatan 60an bermukim di gegendang telinga. Syahdu.


Aku lahir dari keluarga serba kekurangan. Anak ke 7 dari sembilan adik beradik. Seorang abang dan adikku telah meninggal dunia sewaktu masih kecil.  Seorang kakakku baru sahaja meninggal dunia pada tahun lalu. Ayah dan ibu juga telah pergi menyahut seruan Ilahi. Kini kami tinggal 6 beradik. Kakak sulongku menjadi pengganti ibu dan ayah tempat kami mengadu dan berkongsi masalah.


Sewaktu di zaman persekolahan, setiap pagi dikejutkan ibu yang telah siap dengan rebusan ubi dan kopi panas buat sarapan sebelum ke sekolah. Kekadang lempeng pisang dan kelapa menjadi hidangan. Tiada rungutan. Tiada bantahan. Sarapan sama setiap sajian.

Aduh ibu, aku jadi rindu saat itu walau kau telah jauh meninggalkan kami. Terlalu besar pengorbananmu kepada kami. Terlalu sikit bakti kami kepadamu. Hanya doa yang mampu kami titip buat perjalanan kekalmu di Sana.


Ayah sejak dari subuh lagi telah ke masjid menjalankan tanggungjawabnya. Sekembali dari masjid terus menukar baju mengelek pisau penebas rumput mengayuh basikal ke tempat kerjanya di Majlis Tempatan. Ayah menjadi buruh "Local Council"  sejak berhenti dari perkhidmatan SC ("Special Constabal"). Walau gaji tidak seberapa dia tidak pernah merungut. Tawakal.

Ke sekolah aku jarang sekali membawa bekal mahupun duit belanja. Aku faham. Tiada rungutan. Kawan-kawan ku juga sama. Tiada sebarang bekalan yang kami bawa, cuma air paip menjadi mangsa buat penghilang dahaga. Sebelum balik dari sekolah kami mengutip buah saga  di perkarangan kantin sekolah buat makanan semasa berjalan pulang dari sekolah yang jaraknya hampir 2 batu dari rumah.

Sampai di rumah selepas makan nasi dengan lauk ala kadar, aku terus keluar ke halaman mencari kawan-kawan sepermainan. Bermain polis senteri, galah panjang, konda kondi dan kekadang bola sepak. Tiang rumah jiran menjadi pintu gol. Asyik. Tidak sedar azan maghrib telah berkumandang.

Ada waktu dimusim hujan kami sempat  berpesta di sungai yang terletak agak jauh dari kampung. Semasa balik sempat memetik pucuk paku buat bekalan. Di malam bulan Ramadhan keadaan kampung kami bagaikan pesta. Anak-anak sebaya berkejaran bermain didingin malam diterangi lampu pelita minyak tanah. Ayah ibu hanya memerhati dan sesekali menegur agar tidak keterlaluan bergembira. Letupan meriam buluh dan mercun silih berganti berperang antara kampung. Indahnya. Sewaktu cuti panjang penggal persekolahan kami berkumpul di rumah ibu saudara yang mengerjakan sawah bendang. Menyelinap dari satu petak sawah ke petak yang lain menangkap ikan dan siput belitung di musim menuai. Menimba paya bersama sepupu menangkap keli, haruan dan puyu. Bahagianya. Begitulah kehidupan sewaktu kanak-kanak yang sentiasa menghantui kehidupan dewasaku. 


Ayah seperti biasa jarang berada di rumah setelah balik dari bekerja. Masjid adalah rumah kedua. Menjadi siak masjid dan penggali kubur adalah kerja sampingannya. Kini telah hampir 10 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Moga kau dilimpahi rahmat Nya.

Aku sejak dari usia 11 tahun lagi telah menjadi penggali kubur menolong ayah. Tanah perkuburan sudah menjadi taman permainanku.Terjumpa tulang, tengkorak dan keranda lama telah menjadi perkara biasa.Tiada istilah takut. Kekadang aku keseorangan di tengah-tengah tanah perkuburan menanti ayah menunaikan solat. Aku pernah terlena di dalam liang lahad kerana keletihan. Tidak pernah pulak ada gangguan. Seram mungkin ada, tetapi tidak menggangu. Pernah aku mengendalikan pengkebumian mangsa serang hendap pengganas komunis. Aku juga mengendalikan pengkebumian jenazah Salbiah yang dikaitkan dengan pembunuhan oleh Insp Sadri. Kes ini cukup hangat suatu masa dulu. Pendapatan dari pekerjaan ini hanyalah sekitar 3 ke 4 ringgit setelah dibahagi dua dengan ayah. kebanyakan pendapatan kuserahkan kepada ibuku. Hanya sebahagian kecil yang kuambil untuk kegunaan sendiri.

Mengharapkan wang perbelanjaan dari ayah memang tidak pernah. Aku tahu ayahku tidak mampu. Gajinya hanya sekitar RM 90.00 sebulan. Sedangkan barang harian yang dibeli secara hutang dari kedai runcit cina di pekan kecil daerah kediaman kami  menjangkau RM 130.00 hingga RM 150.00 sebulan. Setiap bulan ayah hanya menandatangani boucer gaji tanpa sempat menyentuh wang gajinya. Wang gajinya telah dipotong keseluruhannya untuk membayar hutang. Apa lagi yang tinggal. Mujurlah ayah membuat kerja sampingan memotong rumput di rumah jiran disamping kerjanya sebagai siak dan penggali kubur. Pendapatan itu lah digunakan untuk perbelanjaan runcit lain. Namun ayah tidak pernah mengeluh.  Rezekinya sentiasa murah. Ada sahaja sedekah dan wang upah yang diterima. Tiap pagi dia mampu ke pasar membeli ikan dan sayuran. Malah tidak pernah dia lupa membeli ikan untuk makanan kucing dijalanan. Kucing-kucing ini sentiasa setia menungu kepulangannya setiap pagi menunggu habuan. Itulah ayahku, dalam kepayahan, rezeki tetap dikongsi walau bersama haiwan tidak bertuan. Doaku moga rezekimu murah di Sana.
          

No comments: