Thursday 15 December 2011

Nostalgia Kehidupan (3)

15 Disember 2011: Tamat pendidikan rendah aku melangkah masuk ke Sekolah Menengah di daerah berhampiran. Melaporkan diri ke sekolah baru hanya bersama teman, tidak diiringi ibu bapa seperti anak-anak sekarang. Sekolah baru. Persekitaran baru. Guru-guru baru dan teman-teman baru. Semuanya serba baru. Agak kekok pada mulanya bila mula melangkah ke alam remaja. Pergi dan balik  sekolah menaiki bas. Pada mulanya seronok, lama kelamaan menjadi jemu.

Memulakan persekolahan di tingkatan satu kami mula didedahkan dengan pelajaran baru. Tawarikh (sejarah) Ilmu Alam (geografi) Ilmu Hisab (matematik) Sivik dan lain-lain. Dalam bidang akademik aku hanya berada ditahap sederhana. Sering berada dipertengahan setiap kali peperiksaan penggal persekolahan diumumkan. Mana tidaknya, ulangkaji pelajaran tidak pernah. Asyik mencari duit dan mengembala lembu peliharaan walaupun hanya dua ekor. Mujur juga aku masih mampu lulus semasa peperiksaan SRP(PMR).

Selepas tamat SRP aku menyambung pelajaran ke tingkatan empat. Aku semakin aktif dengan kegiatan di luar bilik darjah. Matapelajaran sastera menjadi kegemaranku. Tiap kali guru sastera masuk aku akan menjadi sasaran cikgu untuk mendeklamasikan sajak dan membaca puisi. Menjadi pelakon dalam drama sebabak dan menjadi penari dalam persembahan tahunan di sekolah. Aku juga mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Kegiatan ini menyebabkan aku dikenali ramai pelajar dan guru-guru sekolah. Ramai jugalah peminat aku pada masa itu. Namun tidak sempat aku mengembangkan bakat di luar sekolah kerana kekurangan peluang dan kesempatan.

Selepas tamat SPM aku terus mencari pekerjaan. Ini kerana ayahku sudah bersara dari pekerjaannya di Majlis Tempatan. Pencen yang diterima hanya sekitar RM 80 ke 90 kalau tidak silap ingatanku. Bagi membantu keluarga ibu berniaga, menjaja kain dari rumah ke rumah. Kakak sulongku bekerja disebuah kilang. Dua orang abangku merantau mencari pekerjaan di Kuala Lumpur terlebih awal. Dua lagi kakakku telahpun berkahwin.


Pekerjaan pertamaku di kilang air batu. Tidaklah susah sangat, setimpallah dengan gaji sebanyak RM70.00 sebulan. Namun aku bekerja tidak lama di situ. Ini kerana pada suatu hari ada seorang lelaki datang mencari kerja di kilang tersebut. Semasa berbual dengannya aku mendapat tahu yang dia sudah berkahwin dan ada seorang anak. Tersentuh dengan ceritanya aku mengambil keputusan berhenti kerja dan mencadangkan dia mengambil tempatku bekerja di situ. Aku rela. Tidak lama selepas itu aku bekerja di kilang memproses getah. Agak berat juga kerana terpaksa mengangkat getah-getah beku yang beratnya hampir 30 ke 40 kilogram yang dipotong menjadi ketulan  untuk dimasukkan ke dalam kolah sebelum diproses menjadi kepingan. Gaji yang aku terima RM 90.00 sebulan untuk kerja sebegini. Tiap hari menghidu asid yang digunakan untuk  membekukan getah membuatkan aku tidak tahan. Akhirnya aku mengambil keputusan berhenti setelah  hampir 6 bulan bekerja.




No comments: