Saturday, 8 September 2012


Tatu Jupe dikecam
Pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez atau Jupe menayangkan tatu kalimah azan di badannya di Jakarta, baru-baru ini. - AGENSI

JAKARTA 6 Sept. - Tindakan pelakon Julia Perez menjadikan satu daripada kalimah azan sebagai tatu di belakang badannya, menyebabkan dia dikecam oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Ketua Umum Pimpinan Pemuda Pusat Muhammadiyah, Dr. Saleh Partaonan Daulay menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan dan meminta masyarakat mengenakan sekatan sosial terhadap pelakon beragama Islam tersebut.
“Ia adalah perbuatan yang disengajakan dan masyarakat perlu memberi pengajaran kepada dia dengan tidak memanggilnya membuat persembahan.
“Perbuatannya ini bukanlah satu contoh yang baik dan industri hiburan juga perlu bertindak dengan tidak lagi menawarkannya berlakon," katanya ketika dihubungi KapanLagi.com, semalam.
Tatu dengan terjemahan ‘Marilah menuju kejayaan’ tersebut dilukis di bahagian belakang badan pelakon yang turut dikenali sebagai Jupe itu.
Saleh berkata, sebagai seorang selebriti, dia tidak sepatutnya memberi contoh yang buruk.
“Ayat yang dikumandangkan ketika azan tidak sepatutnya dijadikan tatu kerana tindakan itu sama seperti mempersendakan kitab suci al-Quran," katanya. - AGENSI 

Thursday, 6 September 2012


‘Elak KL jadi Palestin’     
06/09/2012 - 09:00:08 AM Oleh Khairul Azran Hussin 

Shah Alam: Tokoh pergerakan Islam terkenal Palestin, Sheikh Raed Salah meminta umat Islam di Malaysia menghargai erti kemerdekaan yang dinikmati ketika ini.

Mengambil contoh perpecahan di Palestin berikutan kegagalan mencapai perpaduan antara Fatah dan Hamas, pemimpin utama Gerakan Islam Wilayah Palestin itu berkata, semua umat Islam perlu bersatu tanpa mengira fahaman dan ideologi jika mahu Islam dihormati. 
 

Beliau berkata, penduduk Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan yang ada, apatah lagi rakyatnya tidak berdepan dengan kemiskinan, kemunduran dan tekanan politik daripada pemerintah.

Harapan dunia Islam

“Apabila saya datang ke Malaysia, saya berasakan satu perasaan tenang dan harapan untuk dunia Islam. Ini satu contoh kejayaan dan diharap kejayaan ini dapat dibawa ke negara Islam yang lain.

“Sebab itu, umat Islam di Malaysia perlu menghargainya dan sebagai orang Palestin, kita tahu betapa susah dan mahalnya harga menuntut kemerdekaan,” katanya berucap pada Majlis Aman Palestin di sini, semalam.

Sheikh Raed berkata, akibat keganasan dan penindasan berterusan Israel yang merancang membina kuil Yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa, umat Islam Palestin kini hanya menguasai kurang daripada tiga peratus tanah di bumi mereka sendiri.
Kesan kekejaman Yahudi

“Masjid al-Aqsa kini menanti detik untuk roboh kerana mengalami banyak rekahan dan retakan berpunca daripada kegiatan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel menggali kawasan bawah tanahnya atas alasan mencari bukti peninggalan warisan Yahudi,” katanya.

Israel juga merancang membina kuil Yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa yang menjadi Tanah Suci ketiga umat Islam selepas Makkah dan Madinah.
Sumber: Berita Harian

Regangan Otak: Ermmmmm


Isteri minta cerai suami ketagih menjeling

05/09/2012 - 03:52:44 AM
 

Dubai: Seorang ibu kepada empat orang anak, memfailkan tuntutan cerai di mahkamah keluarga Ras Al Khaimah selepas mengadu tidak tahan dengan sikap suaminya yang suka menjeling dan tersenyum dengan wanita lain.

Pegawai mahkamah Jassim Makki berkata, wanita berusia awal 30-an itu memberitahu, setiap kali mereka pergi membeli belah suaminya seperti ‘ketagih menjeling’ dan asyik memandang semua wanita yang lalu lalang sambil tersenyum kepada mereka.
  

Suami nafi tuduhan
  

Bagaimanapun, akhbar harian Alittihad melaporkan, suami wanita itu yang namanya tidak didedahkan, menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya mendakwa isterinya cemburu.

“Dia menganggap semua wanita yang lalu lalang berhampiran saya akan tertarik kepada saya. Saya rasa dia takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Dia juga tidak pernah berhenti mengintip perbualan telefon dan mendengar percakapan saya,” katanya yang dipetik Alittihad.

Alittihad melaporkan, pihak mahkamah kini berusaha memujuk wanita berkenaan menarik balik tuntutan cerai, demi masa depan anak mereka. - Agensi


 

 

Monday, 3 September 2012


Langkah bendung amarah
03/09/2012 - 05:12:14 AM Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus 
 
Perbanyak ingatkan Tuhan, ubah posisi supaya dapat kawal godaan syaitan

Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima. Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.” 

Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat. Jawab Musa: Ya Tuhan, dia mahu bertaubat. Maka turun wahyu kepada Nabi Musa: Aku telah menerima permintaanmu Musa maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam maka Aku akan menerima taubatnya.”  

"Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api dan api hanya boleh dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang" - Riwayat Abu Daud
 
Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis. Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?

Lalu iblis berkata: Hai Musa kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara iaitu ingatlah kepadaku ketika marah sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah, ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh semasa di medan perang sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang dan awaslah iaitu ketika duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.”

Perasaan marah adalah sifat tercela yang paling banyak membawa kebinasaan kerana perlakuan sedemikian akan mengakibatkan tindak balas anggota badan memukul, memaksa dan membunuh. Sementara dalam hatinya timbul rasa dendam, dengki dan gembira jika bala menimpa orang dimarahi.

Sebaliknya, dia berasa dukacita dan marah jika mereka mendapat nikmat lalu berazam akan membuka rahsianya. Kesemua itu sebab menjadikan seseorang rosak binasa.
Imam al-Ghazali berkata, berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bererti orang yang suka marah telah mengikat persahabatan dengan syaitan.

Daripada Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda SAW: Jangan marah. Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda SAW: Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari)

Janganlah marah ialah jangan menurut hawa nafsu kemarahan bukan melenyapkan sama sekali nafsu itu kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Kita seharusnya mengatasi sifat marah dengan ilmu pengetahuan dan tindakan susulan berbentuk ucapan kalimah Allah. Ilmu pengetahuan inilah yang mengetahui tidak ada sebab untuk kita marah kecuali kita mengingkari sesuatu berlaku atas kehendak Allah SWT.

Rentetan daripada itu, ucapan ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’ wajar diucapkan bagi menghilangkan sifat marah dalam diri.

Marah itu berpunca daripada syaitan. Jika kemarahan masih belum reda dan berhenti dengan ucapan tadi, hendaklah duduk jika kita berdiri. Kalau duduk, hendaklah berbaring tetapi jika kemarahan masih berlarutan dan sukar reda, hendaklah kita mengambil air sembahyang.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api dan api hanya boleh dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang.” (Riwayat Abu Daud)

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ketahuilah bahawa marah itu seperti bara api dalam jantung (hati) anak Adam. Adakah tidak kamu melihat ketika marah pada kedua-dua matanya dan bengkak urat lehernya, maka sesiapa yang mendapat sesuatu daripada sedemikian itu, maka hendaklah ia memukul pipinya dengan bumi.” (Riwayat at-Tarmizi)

Menahan kemarahan adalah perlakuan terpuji. Allah SWT berfirman: “Dan orang yang sabar menahan marah.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan orang yang mampu menahan perasaan marah dan akhir sekali mendapat rahmat serta pembalasan sewajarnya daripada Allah SWT. 
Sumber; Berita Harian 

Jangan biarkan mereka terlepas!
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

PAPARAN gambar seorang wanita dan seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta aksi memualkan sekumpulan remaja ketika demonstrasi Bersih pada 30 Ogos lalu yang dipaparkan oleh Mingguan Malaysia telah mendapat perhatian ramai.
Penulis sendiri menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempersoalkan apakah perbuatan biadab berkenaan akan dibiarkan begitu sahaja.
Mereka mahu kerajaan bertindak kerana perbuatan itu sudah benar-benar tidak boleh dimaafkan.
Apa yang paling membimbangkan banyak pihak ialah keberanian sekumpulan pemuda mengibarkan bendera merah putih yang menyerupai bendera Singapura dan Indonesia.
Mereka bertindak sedemikian bagi menolak Jalur Gemilang yang selama ini menjadi lambang kedaulatan dan maruah serta martabat rakyat dan negara ini.
Justeru persoalan yang bermain di fikiran kita ialah apakah perbuatan biadab dan melampaui batas ini akan dibiarkan begitu sahaja?
Penulis tidak berhasrat mewujudkan perasaan perkauman tetapi apa yang benar-benar kita terkilan ialah tindakan seorang wanita bertudung labuh yang hanya tersenyum melihat seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri.
Wanita berkenaan seolah-olah seronok kerana wajah pemimpin yang mungkin 'musuh politiknya' dilakukan sedemikian rupa!
Apakah itu dipanggil kebebasan? Apakah itu dinamakan demokrasi? Apakah itu dianggap cara untuk melakukan bantahan?
Penulis percaya tindakan biadab peserta-peserta demonstrasi 'Janji Bersih' berkenaan akan membangkitkan kemarahan seluruh rakyat negara ini yang cintakan kedamaian dan mempunyai nilai tata susila yang tinggi.
Tetapi soalnya apakah kemarahan boleh memastikan perbuatan biadab itu tidak berulang lagi?
Ketika inilah tumpuan diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan bukan sekadar mengeluh apatah lagi memberi amaran.
Keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan tidak harus biarkan berterusan.
Kita harus ingat ini bukanlah kali pertama rakyat negara ini dipaksa menyaksikan adegan memualkan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi.
Demokrasi apa yang hendak diperjuangkan kalau tingkah laku sendiri menunjukkan betapa rendahnya moral kelompok berkenaan.
Begitu juga apabila mereka mengibarkan bendera merah putih, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah menyambut kemerdekaan negara.
Mana mungkin ketika negara ini sedang meraikan kemerdekaan, kita membiarkan sekelompok manusia biadab mencemarinya dengan satu perbuatan yang dianggap sudah melampaui batas.
Jangan lupa suatu ketika dulu pihak berkuasa pernah mengambil tindakan terhadap sekelompok pemuda di Terengganu yang membakar Jalur Gemilang, tetapi perbuatan mengibarkan bendera merah putih kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang lebih biadab dan bahaya.
Ini bermakna sudah ada satu keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.
Perbuatan kelompok berkenaan tidak harus dibalas dengan hujah politik sahaja, mereka tidak harus dikategorikan sebagai golongan yang harus dipujuk untuk menyokong kerajaan sebaliknya, mereka adalah kelompok yang perlu diasingkan daripada masyarakat.
Kita sama sekali tidak boleh membiarkan kelompok ini berasa bangga dan gembira dengan perbuatan mereka, apatah lagi apabila ia tersebar luas di seluruh dunia melalui internet.
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera bagi memburu golongan pemuda yang terlibat. Mereka ini perlu diberi pengajaran bahawa perbuatan mereka sudah melampaui tata susila rakyat Malaysia.
Selain itu, kita juga bertanya apakah komen pakatan pembangkang terhadap perbuatan-perbuatan biadab yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan.
Jika mereka tidak mendesak supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab, jelaslah perbuatan penunjuk perasaan berkenaan direstui oleh pembangkang.
Jangan lupa, Bersih adalah idea pembangkang dan sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan kononnya dalam usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Oleh itu, mereka tidak harus lepas tangan apabila ada penunjuk-penunjuk perasaan yang menyokong Bersih melakukan perbuatan kurang ajar seperti mana di dalam gambar-gambar yang disiarkan di surat khabar dan internet.
Apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kelompok manusia yang dianggap masih berjiwa penjajah dan dianggap tidak berjiwa patriotik itu.
Kalau mereka berjiwa patriotik dan mempunyai tata susila yang tinggi sudah pasti mereka tidak akan mengibarkan bendera Merah Putih, tidak akan memijak gambar pemimpin negara dan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Melalui perbuatan biadab yang berlaku sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, memang benar yang terlibat hanya kelompok kecil tetapi kita tidak harus membiarkan seinci pun bumi Malaysia ini 'dihuni' oleh kelompok tidak bertamadun tersebut.
Justeru ketegasan pihak berkuasa amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak kerana majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan tindakan berdasarkan amaran semata-mata.
Apa yang rakyat ingin lihat ialah kelompok bertanggungjawab dikenakan tindakan setegas-tegasnya.
Kita tidak boleh membiarkan kelompok ini dilihat memperkotak-katikkan undang-undang dan berani melakukan tindakan kerana merasakan ada pihak yang akan tampil membela mereka atas nama hak asasi manusia.
Apa yang mereka lakukan bukannya soal hak asasi apatah lagi memperjuangkan kebenaran atau keadilan tetapi demonstrasi yang diadakan sebenar bertujuan untuk mencemarkan imej Malaysia di mata dunia, mencabar keberanian pihak berkuasa dan menghina kepimpinan negara.
Oleh itu apakah mereka harus dibiarkan begitu sahaja? Segala-galanya terserah kepada pihak berkuasa menentukannya tetapi apa yang pasti ingatlah kata-kata Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang pernah mengingatkan,"pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil".
Jadi, tidak salah kalau kita katakan itulah yang dilakukan oleh sekelompok manusia pada malam menyambut kemerdekaan baru-baru ini, apabila mereka mengibarkan bendera Merah Putih, memijak gambar pemimpin dan menunjukkan aksi lucah.
Percayalah jika ini dibiarkan, maka tidak mustahil mereka akan melakukan lebih banyak lagi tindakan yang memualkan. Jangan biar ini terjadi!

Kenyataan kontroversi Rhoma Irama
Dari Jakarta

SEKERAS mana sekalipun tembok keegoan seseorang lelaki itu, ada masanya, mereka juga tidak mampu untuk menahan air mata daripada jatuh.
Apa lagi bagi lelaki normal yang dikurniakan perasaan dan emosi, sekali hatinya terusik, tentu sekali air mata akan jatuh dari kelopak matanya.
Lalu, apabila seniman Rhoma Irama menangis di hadapan wartawan pada sidang akhbar baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama di Indonesia.
Air mata Rhoma menjadi bahan perbualan ramai sehinggakan sebilangan besar peminat setia Raja Dangdut Indonesia ini turut sama merasa pilu melihat artis pujaan mereka.
Reaksi Rhoma tempoh hari berlaku di luar kawalannya selepas kenyataan beliau disalah faham oleh banyak pihak.
Rhoma, yang kini seorang ahli politik kecewa kerana niat dan maksud sebenar beliau ketika menyampaikan ceramah dilihat dari sisi negatif.
Sebagai umat Islam, Rhoma memikul tanggungjawab mengingatkan mereka yang seagama dengannya mengenai kepentingan memilih seorang muslim sebagai pemimpin.
“Saya memetik sepotong ayat al-Quran yang menyebut bahawa orang yang beriman dilarang memilih orang kafir sebagai pemimpin. Apakah itu menjadi satu kesalahan," soal Rhoma mengenai salah faham musuh-musuh politiknya.
Kontroversi ini tercetus selepas beliau memberikan ceramah di Masjid Al Isra di Tanjung Duren, Jakarta pada hujung bulan lalu.
Beliau didakwa telah menggunakan isu agama, bangsa dan etnik sebagai modal kempen pilihan raya Gabenor Jakarta.
Dalam siri kempen membantu calon Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo itu, Rhoma menegaskan, jika seorang muslim memilih pemimpin yang bukan sesama Islam maka mereka akan menjadi musuh Allah.
Fauzi Bowo dan wakilnya, Nachrowi Ramli berhadapan dengan persaingan calon lain untuk kerusi Gabenor Jakarta iaitu Joko Widodo (Jokowi) - Basuki Tjahaja Purnama (Ahok).
Berbanding Fauzi, Nachrowi dan Joko, hanya Ahok seorang sahaja calon yang bukan beragama Islam.
Justeru, apabila Rhoma menyampaikan peringatan bahawa umat Islam harus memilih pemimpin yang merupakan seorang muslim beriman, hal ini mencetus rasa kurang senang di kalangan pihak yang tidak berpuas hati dengan mendakwa beliau mahu mencetus ketegangan kaum.
Rhoma tentu sekali mempunyai pandangan tersendiri dalam menangani isu ini.
Sebagai orang yang berpengetahuan luas dalam agama, tentu sekali beliau menghormati Jokowi dan Ahok dalam konteks berbangsa dan bernegara.
“Saya sayang mereka. Tapi tetap dalam konteks memilih pemimpin, saya harus menyampaikan perintah Allah. Saya juga mohon pengertian umat bukan Islam," tegas Rhoma meminta semua pihak jangan dengan mudah menuding jari ke arahnya.
Dalam konteks berbangsa dan bernegara, Islam tegas Rhoma, memerintahkan umat Islam supaya menghormati dan mencintai umat daripada agama lain.
Toleransi
Bahkan, dalam Islam sendiri diberi penekanan bagaimana memupuk toleransi terhadap pelbagai cabaran agama.
“Namun, untuk urusan memilih pemimpin, harus dipilih yang seagama. Sekali lagi, saya katakan ini bukan isu agama, bangsa atau etnik.
“Misalnya saya katakan Jokowi itu Jawa dan agamanya Islam. Lalu Fauzi itu Betawi dan Nara juga Betawi, agamanya Islam. Sedangkan Ahok sukunya Cina dan agamanya Kristian. Rakyat harus tahu siapa calon mereka," katanya lagi.
Raja Dangdut tersohor itu juga mempertahankan pendiriannya bahawa menyampaikan ayat kitab suci di rumah ibadat termasuk di masjid bukan suatu kesalahan.
“Bahkan semua agama juga akan menerima kenyataan ayat kitab suci di rumah ibadat," jelas Rhoma.
Majoriti umat Islam tentu sekali akan bersetuju dengan mesej ceramah yang disampaikan oleh Rhoma.
Tidak kurang juga, ramai yang yakin bahawa air mata merupakan perlambangan kejujuran seseorang kerana ia bahasa kalbu.
Dan air mata kekesalannya ekoran salah faham mereka yang tidak mengenali Islam diyakini tertumpah kerana kejujurannya.
Barangkali juga, Rhoma tidak begitu berasa tertekan terhadap mereka yang salah faham mengenai mesej ceramah beliau.
Namun, yang sangat-sangat digusarkan beliau pada ketika ini ialah rasa kasihan kepada golongan yang keliru itu kerana terpaksa memikul dosa akibat melarang beliau menyampaikan maksud ayat-ayat al-Quran.
Atas rasa sedih yang terlalu mendalam itu, Rhoma mempertahankan prinsipnya bahawa sebagai penceramah agama, dia sekadar menyampaikan mesej yang jelas dan terang supaya masyarakat faham.
Persoalan yang turut mengundang perdebatan dalam konteks kontroversi Rhoma ini, apakah menjadi kesalahan apabila umat Islam kini berkongsi ilmu agama mengenai umat seagama?
Apakah dalam keterbukaan manusia era masa kini yang dengan mudah menerima kemasukan budaya asing pada masa sama menyekat suara-suara ulama atau mereka yang bijak pandai dalam hal ehwal Islam bercakap mengenai agama?
Tentu sekali persoalan-persoalan ini membuatkan Rhoma bimbang apa akan jadi pada umat Islam seandainya hukum syariat tidak dipanjangkan kepada mereka yang jahil mengenai agama.
Justeru, beliau sendiri menolak untuk meminta maaf kepada pasangan Jokowi-Ahok seperti yang disarankan sesetengah pihak kerana yakin berada di kedudukan yang benar.
"Saya tidak perlu meminta maaf kepada kelompok Jokowi-Ahok kerana saya tidak berbuat salah. Tiada soal perdamaian juga kerana kami tidak pernah bermusuh," kata Rhoma lagi.
Mungkin juga kontroversi ini menjadi debat yang panjang kerana mesej ceramah itu disampaikan oleh Rhoma Irama - satu nama yang sangat sinonim dengan perkembangan muzik dangdut Indonesia.
Tetapi, apa salahnya kalau orang seperti Rhoma yang sudah mendalami ilmu agama selama bertahun-tahun bercakap mengenai kebenaran?
Inilah masalahnya apabila agama diheret dalam kancah perdebatan politik.
Agama itu adalah suatu urusan yang sangat suci yang tidak perlu dicemari dengan pandangan-pandangan bersifat individualistik.
Sumber: Utusan 

Janji Allah     
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
 
SURAH ini dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.
Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.
Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai. Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.
Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaat itu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."
Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."
Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.
Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).
Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."
Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."
Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu. (al-Mursalat: 10)
Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."
Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.
Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."
Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."
Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.
Sumber: Utusan 

Monday, 27 August 2012

Doa dalam kehidupan Muslim

Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus
 
  
Lambat atau cepat permohonan dimakbul suatu ujian yang perlu dihadapi

Pada suatu hari, ada orang melihat Abu Abbas al-Mursi sedang dalam keadaan sakit. Orang itu mendoakan supaya Abu Abbas al-Mursi diberi kesejahteraan oleh Allah SWT, akan tetapi Abu Abbas berkata: “Adakah kamu mengira bahawa aku tidak memohon kepada Allah untuk kesejahteraanku? Sesungguhnya aku telah meminta ke sejahteraan kepada-Nya. Sebagai pengetahuanmu, pen deritaanku ini pun termasuk dalam maksud kesejahteraan.”
Abu Abbas al-Mursi kembali berkata: “Untuk kamu ketahui, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq juga memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, akan tetapi beliau mati terkena racun. Umar bin Khattab juga memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, akan tetapi beliau mati terbunuh. Usman bin Affan juga memohon ke sejahteraan daripada Allah SWT, ternyata beliau mati terbunuh. Begitu juga dengan Ali bin Abi Talib, ia juga memohon kesejahteraan kepada Allah SWT, beliau juga mati terbunuh.”
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu"
Justeru, apabila seseorang itu memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, maka berdoa dan mohonlah ke sejahteraan menurut apa dikehendaki Allah SWT kerana yang demikian itu paling baik bagi diri seseorang, wa laupun keadaannya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsunya.

Sebagai makhluk atau hamba Allah yang sentiasa dalam serba kekurangan dan kelemahan, sudah tentu kita ber hajat kepada bantuan orang lain yang lebih kaya serta berkuasa daripada kita. Jadi, siapakah yang dapat mem beri pertolongan kepada kita dalam erti kata sebenar nya?

Jawapannya, sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah SWT semata-mata yang benar-benar dapat menolong dan membantu hamba-Nya yang sentiasa me merlukan bantuan.

Oleh itu, kita janganlah sekali-kali berdoa atau me mohon sesuatu pertolongan selain daripada Allah SWT kerana perbuatan sedemikian akan meletakkan diri kita dalam kepompong orang yang melakukan perbuatan syirik yang amat dibenci lagi dikutuk oleh Allah SWT.
Doa adalah suatu ibadah yang besar ertinya dalam kehidupan setiap Muslim, di mana ia mendatangkan manfaat dan faedah untuk dunia mahupun akhirat, menolak atau menghindar dari segala bencana yang sudah atau belum berlaku.

Sabda Rasulullah SAW: “Berdoa itu memberi manfaat terhadap sesuatu yang telah berlaku dan dari apa yang belum berlaku, maka lazimlah kamu dengan berdoa wahai hamba-hamba Allah.” (Riwayat al-Hakim)

Setiap orang dianjurkan untuk berdoa, tetapi tidak semua doa itu akan dikabulkan oleh Allah SWT. Ada yang cepat dikabulkan dan ada pula lambat. Jika lambatnya doa itu dikabulkan oleh Allah SWT, janganlah hendaknya berputus asa.

Firman Allah SWT: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Jika Allah SWT tidak mengabulkan permohonan ham ba-Nya itu bukanlah bererti Allah SWT menolak, tetapi berkemungkinan ada kemudaratan terkandung dalam nya yang mencelakakan hamba-Nya, justeru itu peno lakan juga bererti pemberian.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa lagi Maha Mendengar. Tiada suatu kuasa selain Dia yang dapat mendatangkan kebaikan atau manfaat kepada manusia. Oleh itu, Islam mewajibkan umatnya menjuruskan per mohonan, permintaan dan doa hanya kepada Allah SWT.

Memohon sesuatu selain daripada Allah SWT adalah perbuatan yang boleh merosakkan akidah. Tiada satu doa pun yang menjadi tunggak segala ibadah tidak didengar oleh Allah SWT. Namun, doa akan dimakbulkan apabila seseorang itu mentaati suruhan dan menjauhi larangan Allah SWT.

Perlanggaran perintah Allah SWT akan mengakibatkan sesuatu doa itu menjadi sia-sia dan ditolak. Mudah- mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang diperkenankan doa oleh Allah SWT.
 
sumber: Berita Harian                              
 

Ganjaran suka membantu sesama Muslim

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, “Apabila Nabi SAW didatangi kepadanya oleh orang yang me merlukan pertolongan, Baginda menghadap kepada sa habat-sahabatnya yang sedang duduk bersamanya lalu bersabda: Bantulah dia nescaya kamu akan mendapat pahala, dan Allah akan menyempurnakan atas lidah nabinya yang disukai (dalam riwayat lain apa yang di kehendakinya).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang Islam mestilah memberi sokongan kepada orang Islam lain dalam perkara kebajikan kerana Allah SWT menjanjikan pahala yang besar kepada orang Islam yang suka menolong orang dalam kesusahan. Umat Islam juga perlu yakin, segala permintaan (doa) Nabi SAW diterima oleh Allah SWT. Oleh itu, memberi sokongan pada perkara kebajikan adalah digalakkan dan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT sama ada dengan sokongan hajat orang itu diterima atau sebaliknya.

  Begitu juga kewajipan umat Islam menolong saudaranya yang dizalimi kerana kita hendaklah menahan dan mencegah saudara seagama daripada melakukan ke zaliman. Menghalang saudara melakukan kezaliman ber erti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab.

Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang Islam atau bukan Islam.

Daripada Anas katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi. Berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim? Jawab baginda: Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.” (Riwayat Bukhari)

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
 
sumber: Berita Harian