Thursday 11 January 2018

Rambut membeku demi pelajaran



KISAH murid lelaki sebuah sekolah di pedalaman China menyentuh hati jutaan orang kerana terpaksa berjalan 4.5 kilometer dalam cuaca sejuk untuk ke sekolah menyebabkan rambutnya mengeras seperti titisan air membeku.
Gambar rambutnya membeku itu tular di media sosial dan kejadian berlaku selepas dia berjalan selama lebih sejam ke sekolahnya di Shaotong, wilayah Yunnan, apabila suhu tiba-tiba menurun menjadi negatif sembilan darjah Celcius, pagi semalam.
Hanya berpakaian nipis, murid tahun tiga Sekolah Rendah Zhuanshanbao itu meredah cuaca sejuk melampau bagi menduduki peperiksaan bermula semalam.
Menurut laporan, kanak-kanak itu tinggal bersama datuk dan neneknya serta adik beradiknya yang lain kerana kedua ibu bapanya bekerja di bandar.
Guru besar sekolah itu yang dikenali sebagai Fu berkata, rumah kanak-kanak itu terlalu jauh menyebabkan dia terpaksa mengambil hampir sejam berjalan kaki setiap hari ke sekolah.
Lebih malang lagi, bilik darjah tiada alat pemanas.
Menurut Fu, peperiksaan akhir sekolah bermula semalam dan beliau terperanjat apabila murid itu sampai dengan rambut dan keningnya diselaputi ais.
“Namun, dia kelihatan comell, malah membuat muka kelakar di depan rakan sebaik memasuki kelas,” kata Fu.
Murid itu pintar, terutama dalam mata pelajaran matematik dan gambar disiar media diambil menunjukkan dia memegang kertas matematik tertera markah 99 peratus.
Selepas gambar kanak-kanak itu tular di media sosial, ramai pengguna sebak melihat kesungguhannya belajar dan menyatakan sokongan terhadapnya.

-Metro

No comments: