Friday 12 January 2018

Tawar ganjaran RM225,000


BERIKUTAN desakan dan kecaman orang ramai terhadap kes Zainab Ansari berusia enam tahun yang dibunuh selepas diperkosa, barulah kerajaan negeri Punjab berusaha keras mencari pembunuhnya, termasuk menawarkan ganjaran 10 juta rupees (RM225,000) bagi maklumat.
Kerajaan negeri juga membayar pampasan kepada dua penunjuk perasaan yang maut ditembak polis semalam, ketika menyertai bantahan mengecam polis di Kasur, semalam.
Laporan sebelum ini menyebut Zainab berusia lapan tahun, namun menurut keluarganya, kanak-kanak malang itu baru berusia enam tahun.
Tunjuk perasaan masih berlaku hari ini, sehari selepas jenazah Zainab dikebumikan selepas mayatnya ditemui dalam tong sampah di tepi jalan, Selasa lalu. Mereka melempar objek, termasuk batu ke arah hospital dan menyerang sekurang-kurangnya satu rumah ahli politik.
Zainab adalah kanak-kanak kelapan yang menjadi mangsa rogol dan pembunuhan di Kasur dalam tempoh 12 bulan lalu.
Menurut jurucakap polis, Muhammad Sajid, berkata sehingga 20 suspek sudah ditahan namun siasatan kes pembunuhan Zainab masih buntu.
Kemarahan orang ramai terhadap polis yang tidak mempedulikan pembunuhan kanak-kanak itu sudah lama lama disemarakkan dengan kes serangan seksual terhadap kanak-kanak oleh satu sindiket pada 2015.
Sindiket dianggotai 25 lelaki itu menculik 280 kanak-kanak dan merakam adegan seksual mangsa yang kemudian memeras ugut ibu bapa supaya membayar sejumlah wang jika tidak mahu rakaman video anak mereka disiarkan di internet.
Ibu bapa mangsa bertempur dengan polis Kasur ketika membantah kegagalan pihak berkuasa membawa kes berkenaan ke mahkamah.

-Metro

No comments: