Cubaan bunuh diri dalam kereta api bawah tanah
BEIJING – CHINA . Sebuah paparan video menunjukkan cubaan bunuh diri beramai-ramai di dalam sebuah kereta api bawah tanah di Beijing, China kini menjadi viral di media sosial.
Media tempatan melaporkan, sebuah rakaman video menunjukkan sekumpulan lima wanita dan tiga lelaki lingkungan 30 dan 60-an menaiki kereta api bawah tanah dan dilihat meminum sejenis cecair misteri berwarna putih.
Sebahagian mereka kemudiannya dilihat pengsan dengan mulut berbuih dan selebihnya menahan kesakitan.
Saksi berkata, ramai penumpang melarikan diri daripada kumpulan terbabit kerana ketakutan.
Rakaman kemudian menunjukkan, sepasukan anggota polis memasuki kereta api di Stesen West Tiananmen itu dan mula mengheret mangsa ke platform.
Empat daripada mangsa dilaporkan selamat manakala empat lagi tenat dipercayai akibat keracunan.
Menurut media Epoch Times, kumpulan itu dipercayai cuba membunuh diri selepas menjadi mangsa penipuan kewangan bursa saham dengan meninggalkan sejumlah hutang yang besar.
Tindakan itu dibuat susulan terlalu kecewa kerana aduan mereka tentang aktiviti penipuan itu tidak dilayan oleh pihak berkuasa selepas mereka membuat banyak aduan, sebelum ini.

-Sinar