Monday 13 June 2016

Cari berkat



Kluang: “Ambillah seberapa banyak pun, asalkan habis dimakan ketika berbuka puasa kerana semua percuma,” kata Ismail Bakar, 63, kepada orang ramai yang datang ke gerai jemput-jemput yang diusahakannya sejak 17 tahun lalu di Jalan Kampung Melayu, di sini, sepanjang Ramadan.
Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mail Jemput-Jemput berkata, tujuannya memberikan percuma kuih itu kerana ingin bersedekah serta mencari berkat pada bulan mulia ini selain berkongsi keuntungan yang diperolehi sepanjang tahun.
“Apa salahnya kita habiskan antara RM1,000 dan RM2,000 sepanjang Ramadan ini untuk bersedekah kerana apa yang diperoleh melalui keuntungan jualan sepanjang tahun melebihi daripada dikeluarkan ini.
“Ini adalah tahun pertama ia dilakukan dan berharap dilaksanakan setiap kali Ramadan sekiranya panjang umur,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan jemput-jemput di gerai itu setiap hari sepanjang Ramadan bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang dan perisa sama seperti hari biasa.
“Saya membuka peluang kepada orang ramai berkongsi bersedekah dengan menyumbangkan buah-buahan seperti pisang, betik, tembikai susu, nanas dan nangka untuk dijadikan jemput-jemput dan diagihkan kepada orang ramai.
“Semoga dengan apa yang dilakukan ini mendapat berkat daripada Allah seterusnya dilimpahi rahmat serta rezeki sama ada daripada sudut perniagaan mahupun pekerjaan lain,” katanya.
Justeru, Ismail dengan berbesar hati menjemput sesiapa saja yang meminati jemput-jemput diusahakannya datang ke gerainya dan mendapatkannya tanpa perlu membayar sesen pun.

-Metro

No comments: