Monday 6 June 2016

Sesiapa boleh bunuh pengedar dadah

Manila: Bakal presiden baru Filipina menggesa rakyat negara itu yang memiliki senjata menembak mati pengedar dadah yang melawan ketika di tangkap.
Bercakap pada perhimpunan menyambut kemenangannya dalam pilihan raya presiden di bandar Davao lewat kelmarin, Rodrigo Duterte berkata: “Jangan takut menelefon kami, polis atau anda boleh melakukannya sendiri jika anda mempunyai senjata. Saya menyokong tindakan anda,” kata Duterte.

Ucapannya disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.
Menurutnya, rakyat Filipina yang menyokongnya dalam peperangan menentang jenayah akan diberi hadiah.
“Jika pengedar dadah melawan ketika ditangkap atau enggan dibawa ke balai polis serta cuba mengancam orang awam dengan pistol atau pisau, bunuh sahaja dia. Anda tembak dia dan saya berikan pingat kepada anda,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Duterte juga meminta tiga pegawai kanan polis berpangkat jeneral di Manila meletak jawatan kerana terbabit dalam jenayah yang tidak dijelaskannya.
Dia mengancam akan memalukan pegawai terbabit jika mereka tidak meletak jawatan.
Duterte yang menjadi Datuk Bandar Davao sejak 20 tahun lalu serta bekas pendakwa raya berkata, punca polis melakukan jenayah ialah sama ada kerana ‘tamak melampau atau kerana keperluan terlampau.’
Duterte, 71, yang memulakan khidmat enam tahunnya pada 30 Jun mengulangi rancangan menawarkan hadiah besar kepada mereka yang menyerahkan ketua dadah, tidak kira hidup atau mati, kepada kerajaan.
Dia mencapai kemenangan besar pada pilihan raya 9 Mei lalu dengan janji untuk mengakhiri jenayah dan rasuah dalam masa enam bulan selepas menjadi presiden.

-Metro

No comments: