Wednesday 2 March 2016

18 jalani hukuman sebat



Banda Aceh: Lapan belas orang, termasuk sepasang kekasih yang ditangkap berkhalwat dirotan di depan khalayak ramai selepas didapati melanggar undang-undang syariah yang dilaksanakan diAceh. Hukuman itu dilaksanakan di atas pentas khas bersebelahan sebuah masjid di sini dan disambut dengan sorakan orang ramai.

Antara yang menjalani hukuman itu ialah seorang wanita berusia 19 tahun dan kekasihnya berumur 21 tahun yang disebat sebanyak lapan kali setiap seorang selepas mereka ditangkap kerana berdua-duaan tanpa sebarang ikatan perkahwinan.

Walaupun hukuman sebat di khalayak ramai sering dilakukan di Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang menjalankan undang-undang Islam, wanita jarang menjalani hukuman berkenaan.

Enam lelaki muda turut dirotan 40 kali setiap seorang selepas ditangkap meminum arak di satu majlis hari jadi di sebuah hotel Disember lalu. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan kesalahan sebahagian lagi lelaki yang turut disebat.

Aceh mula melaksanakan undang-undang syariah selepas diberikan kuasa autonomi pada 2001, satu usaha kerajaan Indonesia untuk menamatkan pemberontakan menuntut kemerdekaan wilayah itu. Undang-undang Islam diperkukuhkan sejak wilayah itu menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pusat pada 2005.

Walaupun lebih 90 peratus rakyat Indonesia mengaku Islam, majoritinya melaksanakan ajaran agama itu secara sederhana. - AFP

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/119459#sthash.slzql0kM.dpuf

No comments: