Tokyo: Sekumpulan saintis di Jepun berjaya menumbuhkan telinga manusia di belakang tikus dan percaya dalam tempoh lima tahun lagi teknologi itu akan membantu pesakit yang cacat anggota badan.
Kajian bersama oleh Universiti Teknologi Tokyo dan Universiti Teknologi Kyoto itu boleh membantu bayi yang dilahirkan dengan wajah cacat serta kanak-kanak yang cedera di muka akibat digigit anjing.
Orang dewasa termasuk askar yang hilang anggota badan akibat peperangan atau mangsa kemalangan jalan raya turut mendapat manfaat daripada teknologi itu.
Ketika ini tulang rawan diambil dari rusuk pesakit untuk dibentuk menjadi telinga.
Bagaimanapun, kaedah itu memerlukan beberapa pembedahan dan prosedur mengeluarkan tulang rawan sangat menyakitkan dengan dada pesakit tidak pulih sepenuhnya.
Teknologi baru ini pula memerlukan sedikit sel stem manusia sebagai sampel untuk menumbuhkan telinga berkenaan.
Lebih menarik lagi telinga yang ditumbuhkan itu boleh hidup dengan badan manusia dan membesar bersama kanak-kanak.
Proses itu bermula apabila saintis menumbuhkan sel stem manusia kepada sel tulang rawan di dalam makmal.
Sel tulang rawan itu dimasukkan ke dalam tiub plastik berbentuk telinga manusia yang diletakkan di belakang tikus.
Selepas dua bulan, tiub plastik itu larut dan yang tinggal hanyalah bahagian daging berbentuk telinga di belakang haiwan itu.
Teknik itu adalah antara beberapa kaedah yang disempurnakan di seluruh dunia bagi membuat organ gantian manusia untuk pesakit yang cacat anggota badan.
Sekumpulan saintis di Britain sebelum ini berjaya menumbuhkan hidung manusia di lengan pesakit itu sendiri.
Saintis juga yakin, satu hari nanti seluruh muka juga boleh ditumbuhkan di dalam makmal.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110165#sthash.rwZKnyzO.dpuf
No comments:
Post a Comment