Kabul: Gambar seorang wanita yang dipotong hidung oleh suaminya selepas mereka bergaduh mencetuskan kemarahan banyak pihak di negara itu dengan aktivis menuntut hukuman berat dikenakan untuk perbuatan yang dianggap tidak bertamadun itu. Menurut NBCNEWS, hidung wanita itu, Reza Gul, 20, dipotong suaminya di rumah mereka di utara wilayah Faryab semalam, dan dia dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya.
Menurut Ketua Polis Afghanistan, Jeneral Sayed Aqa, suami wanita itu melarikan diri dan polis sedang memburunya. Suruhanjaya Hak Asasi Afghanistan yang menyebarkan gambar Reza Gul melalui Twitter (https://twitter.com/afghanistanihrc) mengutuk perbuatan itu sebagai kejam dan mendesak kerajaan menangkap suami wanita berkenaan.
Di beberapa wilayah di Afghanistan, memotong hidung bermaksud mahu memalukan mangsa serta menunjukkan mangsa kononnya membawa malu besar kepada keluarga atau suku kaum.
AFP melaporkan, menurut Ahmad Javed Bedar iaitu jurucakap Gabenor Faryab, suami wanita itu, Mohammad Khan, memotong hidung isterinya menggunakan pisau lipat dan dia kini melarikan ke kawasan dikuasai Taliban.
Ahmad Javed berkata, Reza Gul memerlukan pembedahan mencantum atau membentuk semula hidungnya yang tidak mungkin dapat dilakukan di Afghanistan. Pasangan itu sudah lima tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Pada 2010, seorang wanita, Bibi Aisha, 18, juga dipotong hidungnya oleh suaminya kerana melarikan diri dari rumah selepas tidak tahan didera lelaki berkenaan.
Majalah Time menyiarkan gambarnya di muka depan yang menarik perhatian serta simpati seluruh dunia.
Bibi Aisha kemudian dibawa ke Amerika Syarikat dan dipasang hidung palsu sebelum menjalani pembedahan pembentukan semua hidungnya. - Agensi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108537#sthash.l9zBQgpe.dpuf
No comments:
Post a Comment