Julihai Kassim, 44, dan anak sulungnya, Lailatul Shahirah Janesdin, 21, berkongsi pelamin dengan pasa­ngan masing-masing dalam maj­lis yang meriah dengan kehadiran sa­nak saudara dan jiran tetangga.
Menurut Julihai, idea bersanding serentak bersama anak sulungnya timbul setelah mendapat panda­ngan daripada ahli keluarganya.
“Pada awalnya, saya bercadang bernikah pada Februari tahun de­­pan, namun Lailatul mencadangkan supaya diadakan majlis persandingan serentak bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan.
“Tambahan pula, ramai ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal berjauhan dan bagi saya adalah membazir sekiranya hendak buat satu lagi majlis perkahwinan pada tahun depan kerana tempoh yang dekat selepas majlis perkahwinan anak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Menurut Julihai, selepas 12 tahun bergelar ibu tunggal, dia tidak menyangka bertemu jodoh buat kali kedua dengan Shamsul Abdul Rahman, 42, selepas berkenalan menerusi laman sosial Facebook.
Katanya, dia tertarik dengan keberanian suaminya melamar pada pertemuan kali pertama mereka yang membawa kepada majlis pertunangan pada 20 Julai lalu.
Bagi Lailatul, dia dan pasangannya, Mohd. Tajul Ashikin, 29, bersyukur apabila semua perancangan berjalan lancar dan semua pihak termasuk masyarakat setempat turut memberi galakan melihat dua beranak itu bersanding bersama.
Mengakui berasa bimbang ter­ha­dap pandangan masyarakat yang mungkin memandang si­nis tindakan mereka, Lailatul me­nge­tepikan perasaan tersebut kerana ma­sing-masing sudah bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya dan pasangan juga boleh dikatakan bertuah kerana berpeluang berkongsi kegembiraan menamatkan zaman bujang bersama ibu dan ayah tiri yang jarang diperoleh oleh pasangan mempelai lain.
“Kami memilih tarikh 12 Disember untuk mengadakan majlis persandingan kerana menyifatkan angka tersebut unik dan tidak menyangka menjadi lebih bermakna apabila berpeluang berkongsi pelamin dengan ibu dan ayah tiri,” katanya.

-Utusan