Tuesday 8 December 2015

Insan mulia langsai hutang RM10,000




Johor Bahru: “Hanya Allah dapat membalas jasa baik beberapa insan mulia yang menyalurkan bantuan RM10,000 tanpa mahu mendedahkan identiti, sekali gus melangsaikan hutang rumah dan mengelak satu-satunya aset saya daripada dilelong,” kata lelaki orang kurang upaya (OKU), Suliman Jaafar, 46, semalam. Suliman berkata, hasrat keluarganya untuk membayar balik sumbangan berkenaan secara ansuran sekiranya mampu berbuat demikian turut ditolak penyumbang terbabit yang tidak mengharapkan sebarang balasan. Keluarganya kini mampu menarik nafas lega untuk terus tinggal di kediaman keluarganya berusia 15 tahun itu yang terletak di Taman Teratai, Skudai di sini.


“Dalam usaha membatalkan lelongan, saya terpaksa melangsaikan hutang RM10,000 termasuk kadar bunga kira-kira RM4,000 biarpun tunggakan asalnya hanya RM6,000 selain bagi prosedur pelepasan geran rumah pula, saya dinasihatkan untuk melantik peguam.“Penyumbang berkenaan datang ke rumah secara berasingan dan mereka tidak mahu mendedahkan identiti sebaliknya menyatakan wang diberikannya tidak perlu dipulangkan. “Saya terharu ketika itu dan yakin ia berkat doa orang ramai kepada keluarga kami yang menempuhi keadaan sukar sehingga Allah menghantar insan mulia itu untuk membantu,” katanya.


Suliman berkata, keluarganya juga menerima kunjungan daripada beberapa individu termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan seluruh Johor semata-mata mahu menyalurkan bantuan termasuk barangan keperluan rumah dan kelengkapan sekolah tiga anaknya. “Sokongan moral diberikan mereka amat bermakna bagi membolehkan saya kembali bersemangat dan berusaha untuk mencari rezeki bagi keluarga pada masa depan biar pun bergelar OKU,” katanya.


Pada 3 Disember lalu, akhbar ini menyiarkan kisah seorang lelaki OKU yang hanya mempunyai tempoh 20 hari untuk tinggal di rumah keluarga sebelum ia dilelong. Kisah kesempitan hidup ditanggung bapa kepada lima anak berkenaan menjadi tumpuan pelbagai pihak selepas ia tersebar di media sosial facebook (FB) pada 1 Disember lalu.






- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98629#sthash.uQOoofbq.dpuf

No comments: