Thursday 12 February 2015

Buruan 4 tahun berakhir

Putrajaya: Si ibu berpura-pura solat bagi memantau keadaan manakala si anak perempuan mencari peluang untuk mencuri, menyelongkar dan melarikan beg duit serta tas tangan mangsa sementara si bapa menunggu di dalam kereta.

Itu modus operandi tiga beranak dikenali Geng Bella Aziah yang terbabit dalam kes curi di surau di kompleks beli belah dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Bagaimanapun, selepas empat tahun diburu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 37 dan 47 tahun serta anak perempuan mereka berusia 23 tahun diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Hulu Langat Jaya, Cheras, Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, ketiga-tiga suspek berjaya diberkas hasil siasatan satu kes kecurian tas tangan di surau kompleks beli belah IOI City Mall, di sini pada 2 Februari lalu. Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 54 jenis barangan dan gajet, termasuk telefon bimbit; rantai emas; kamera; komputer riba dan jam tangan dipercayai dicuri bernilai kira-kira RM50,000.

mhusni@hmetro.com.my

No comments: