Thursday 26 June 2014

Penduduk Malaysia cecah 38.6 juta pada 2040


PUTRAJAYA - Penduduk Malaysia dijangka mencecah sebanyak 38.6 juta orang pada 2040 berbanding 29.94 juta pada pertengahan tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penduduk Malaysia bertambah dengan agak tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ASEAN apabila mencatatkan pertumbuhan tahunan pada kadar 2.6 peratus antara tahun 1990 hingga 2000 dan 2 peratus antara 2000 hingga 2010.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perangkaan menjangkakan kadar pertumbuhan penduduk akan menurun ke paras 1.2 peratus pada 2020.

"Struktur umur penduduk juga telah mengalami perubahan ketara dengan mereka yang berusia bawah 15 tahun menurun daripada 34.1 peratus pada 2000 kepada 27.4 peratus pada 2010 dan seterusnya kepada 26 peratus pada 2013 ekoran kadar kesuburan dan kematian rendah.

"Sejajar dengan penurunan fertiliti, bilangan penduduk muda juga berkurangan apabila mencatatkan sebanyak 7.8 juta pada tahun lalu berbanding 8 juta pada 2000.

"Malaysia dijangka ditakrifkan sebagai negara berpendudukan tua pada 2030 ekoran pertambahan warga emas disebabkan peningkatan jangka hayat manakala kesuburan yang pesat pula menurun," katanya ketika berucap pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2014 bertemakan The Interelationship Between Population Dynamics and Development di Hotel Palm Garden di sini hari ini. - KOSMO!

-Kosmo

No comments: