Friday 3 January 2014

Pemikiran Islam Liberal - Fahaman berpandu nafsu, akal


Pemikiran Islam Liberal berteraskan kepada beberapa dasar. Namun, sebelum itu kita lihat asas umum yang menjadi momentum kepada ideanya. Antara gagasan itu sebagaimana yang dikemukakan Charles Kurzman adalah seperti berikut : Syariat liberal - berhujah bahawa ayat al-Quran dan amalan Nabi mengarahkan Muslim untuk mengikuti amalan liberal. Syariat senyap - berpendapat bahawa kewujudan bersama tidak dikehendaki oleh syariat, tetapi dibenarkan. Kiasan ini berhujah bahawa syariat senyap mengenai topik tidak pasti kerana wahyu tidak lengkap atau rosak, tetapi kerana wahyu sengaja dibiarkan begitu, manusia boleh membuat pilihan ke atas isu tertentu. Syariat ditafsirkan - kiasan ketiga ini menunjukkan bahawa kepelbagaian agama tidak dapat dielakkan, bukan hanya dalam kalangan komuniti agama, tetapi dalam Islam itu sendiri. Secara ringkas, idea ini dijadikan bahan anjakan dalam melahirkan beberapa dasar pemikiran Islam Liberal. Antara dasar pemikiran Islam Liberal adalah seperti berikut: Pluralisme agama (kesatuan agama) Golongan Islam Liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. Bahkan, semua agama di dunia ini adalah sama dan benar berdasarkan kepada konsep keseluruhan. Iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan. Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (lintas agama). Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme sesungguhnya adalah aturan Tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah sehingga juga tidak mungkin ditentang dan diingkari. Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah Tuhan dan jaringnya adalah simbolik dari perbagai agama. Demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Alwi Shihab di dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif bukannya eksklusif untuk umat Islam sahaja. Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi, Arief Budiman dan ramai lagi. Ulil Absar Abdalla pula mengatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar.” Bertitik tolak daripada fahaman ini, mereka menyimpulkan bahawa semua agama adalah sama. Dengan itu, mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian daripada hasil ijtihad dan pembaharuan hukum pada dimensi Islam. Paling tuntas, dasar inklusif-pluralis ini sebenarnya menyimpang daripada kebenaran. Bahkan, ia mengutamakan kehendak akal dan nafsu semata-mata. Al-Quran sebagai produk budaya Penganut Islam Liberal enggan menyebutkan ‘Allah berfirman’ disebabkan mereka mendakwa al-Quran adalah susunan kata-kata Muhammad atau karya bersama. Mereka berhujah bahawa teks al-Quran dalam bentuk apapun pada hakikatnya adalah produk budaya. Sebagai contoh, Nasr Hamid Abu Zayd menganggap hukum-hakam di dalam al-Quran hanyalah sesuai dengan sosio-budaya, ekonomi dan politik masyarakat Arab abad ketujuh sahaja. Oleh itu, adalah tidak sesuai jika ia hendak dipraktikkan tanpa sebarang kajian dan menilai hikmah di sebalik penurunan ayat berkenaan. Tidak cukup dengan teori logik di atas, Nasr Hamid Abu Zayd dengan keras mengkritik metodologi ulama tafsir Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau mendakwa autoriti tafsir bukannya dimiliki oleh ahli tafsir terdahulu. Bahkan beliau berpendapat bahawa kalangan ahli tafsir melakukan satu kesilapan besar kerana menafsirkan sesuatu ayat dengan unsur kenabian dan penurunan wahyu. Selain itu, muncul pula Hassan Hanafi dari Mesir yang mempelopori pemikiran Islam Berhaluan Kiri. Beliau berpendapat bahawa nas al-Quran adalah dilalah dzanniyyah (dalil yang diragui), manakala akal adalah pemutus (al-qat’iyah) terhadap perkara yang berkaitan dengan ketuhanan, kenabian dan hari akhirat. Muhammad Arkoun pula menggunakan pendekatan sejarah dalam menafsirkan al-Quran. Beliau berkeyakinan bahawa sebarang kajian kritis sejarah terhadap al-Quran adalah satu bentuk ijtihad zaman kini. Lantaran itu, beliau mengintegrasikan bahan sejarah dari pelbagai agama seperti Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Injil Perjanjian Baru. Beliau juga berpendapat al-Quran itu lebih suci ketika berada di peringkat pertama jika dibandingkan dalam bentuk bertulis. - Bersambung Metro/Rehal Muhtadin -Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri

No comments: