Friday 3 January 2014

Alahai dunia : ‘Dia syok sendiri’


Melaka: “Mustahil untuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pengiktirafan kepada Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka sedangkan kerajaan Malaysia sendiri tidak mengiktiraf beliau,” kata pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam. Menurut beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), tidak munasabah untuk ICJ berbuat demikian tanpa mendapatkan pandangan daripada kerajaan dan pakar sejarah di negara ini. “Soal mendapat pengiktirafan ICJ itu adalah urusan dia (Noor Jan), tetapi kita tidak boleh rekod, malah tiada rekod rasmi yang dicatatkan oleh kerajaan Malaysia yang mengesahkan dia adalah Sultan Melaka. Kita tidak boleh terima pakai pengiktirafan itu. “Mungkin dia nak jadi terkenal dengan berbuat demikian. Niat sebenar hanya dia yang tahu,” katanya. ketika dihubungi, di sini, semalam. Harian Metro semalam melaporkan bukti pengiktirafan ICJ yang ditunjukkan ahli perniagaan lingkungan 50-an yang mendakwa dirinya pewaris Sultan Melaka ke-44 dan pewaris takhta ke-35 Sultan Perak itu tidak kuat bagi membuktikan beliau adalah waris Kesultanan Melaka. Bukti terbaru yang dikemukakan itu masih boleh dipertikaikan dari segi kesahihannya oleh pakar sejarah. Mengulas lanjut, Dr Ramlah berkata, sebagai pengkaji sejarah negara, beliau tidak pernah menemui bukti dalam mana-mana dokumen, risalah atau buku bahawa akan wujud seorang individu yang bergelar Sultan Melaka baru. “Malah, semua pengkaji sejarah di negara ini juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan dalam mana-mana pentas perbincangan atau forum. “Dari segi kisah sejarah lampau, memang tiada bukti akan wujud Sultan Melaka baru dan pengakuan dia mungkin kerana syok sendiri atau ada sesuatu niat yang kita sendiri tak tahu,” katanya. -Metro

No comments: