Tuesday 23 July 2013

PAS terbayang hadapi dua lagi PRK

Jertih: Belum pun selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, PAS negeri sudah menaruh keyakinan bakal berlaku dua lagi PRK dan meminta petugas media yang sudah berkampung di daerah itu sejak lebih dua minggu lalu bersedia menghadapinya.

Pengurus kempen PRK PAS Hanafiah Mat berkata, jika PAS berjaya mengikat kedudukan kerusi DUN seimbang iaitu 16 Pakatan Rakyat dan 16 Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi PRK DUN Kuala Besut Rabu ini, ia bakal memberi khabar gembira buat mereka.

Menurutnya, sebelum ini, parti berkenaan sudah memfailkan dua petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi DUN Hulu Besut dan Kuala Berang, atas alasan utama berlaku amalan rasuah.

“Jadi kita harapkan keputusan mahkamah 28 Julai ini (kalau menang) kalau di sini ada 16:16, kita harapkan ada lagi dua PRK iaitu di Hulu Besut dan Kuala Berang.

“Nampaknya, saudara ada banyak masa lagilah hendak berkampung di sini, mungkin kalau bukan bulan puasa boleh makan sedap sikit,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS Kampung Baharu di sini semalam.

Pada PRU-13 lalu, DUN Hulu Besut menyaksikan calon PAS Shalahudin Jaafar tewas kepada calon BN Nawi Mohamad dengan majoriti 1,570 undi, manakala bagi DUN Kuala Berang, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada calon BN Tengku Putera Tengku Awang dengan majoriti 449 undi./Metro

No comments: