Tuesday 23 July 2013

Kanak-kanak strok lawan ramalan doktor

LONDON 22 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami strok ketika berusia setahun, menolak segala ramalan perubatan tentang masa depannya yang tipis untuk pulih dengan belajar untuk berjalan dan bercakap.

Isabel Manchip dari Portsmouth merupakan seorang daripada kanak-kanak termuda di Britain yang menderita akibat strok hingga merosakkan 75 peratus otak kanannya.

Kecederaan otak di bahagian kanan dikenali sebagai hemiplegia, boleh melumpuhkan bahagian kanan badan dan begitu juga sebaliknya.

Kini usia kanak-kanak itu sudah lebih dua tahun, dan dia mula menggunakan bahagian kiri badannya serta memakai anduh setiap hari bagi menyokong tangan kirinya.

Tidak seperti orang dewasa yang terdedah kepada penyakit strok akibat merokok, diet yang teruk dan kolestrol tinggi, punca penyakit itu terhadap kanak-kanak masih belum dapat dijelaskan.

Namun, menurut ibu bapa Manchip, Rebecca, 45, dan Eddie, 48, anak mereka itu dipercayai mengalami strok akibat demam campak pada Disember 2011 dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama lima hari.

Malah, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai harapan tinggi untuk hidup apabila doktor memaklumkan bahagian otak kanannya telah mengalami kerosakan sebanyak 95 peratus.

Namun, tiga bulan kemudian, ujian imbasan menunjukkan kerosakan otak Manchip menurun kepada 75 peratus, sekali gus menjelmakan harapan cerah untuk kanak-kanak itu pulih semula.

Kini setelah setahun, Manchip menidakkan jangkaan awal doktor sebelum ini, apabila dia bukan sahaja terus hidup, malah sudah mampu berjalan, berlari dan berbasikal.

Sebelum ini, doktor mendapati, Manchip buta mata kiri, namun kini penglihatan kanak-kanak berkenaan juga telah pulih sepenuhnya.

- AGENSI/Utusan

No comments: