Monday 15 July 2013

Nikmat jadi kuli Allah

Kehadiran Ramadan kali ini sewajarnya memberikan kita beberapa penambahbaikan yang boleh dikongsi bersama.

Seorang wali Allah yang masyhur iaitu Syeikh Abdul Qader al-Jailani di dalam kitabnya, al-Ghunyah menjelaskan: “Bulan Ramadan adalah bulan penyucian, bulan penunaian, bulan mereka mengingati Allah, bulan mereka yang bersabar dan bulan orang yang benar.
“Jika kamu tidak berupaya memperbaiki hatimu dan menyingkirkan maksiat daripadanya serta masih mendekati ahli maksiat dan orang melakukan dosa, maka apa lagi yang diharapkan untuk menyucikan hatimu?”

Kenyataan ini memberikan kita satu kesedaran bahawa Ramadan medan terbaik untuk kita menjadi ‘kuli’ kepada Allah SWT.


Ada beberapa kriteria penting untuk kita merealisasikan diri sebagai ‘kuli’ Allah antaranya:
  • Bertaubat atas semua salah silap dan dosa dilakukan. Firman Allah dalam surah az-Zumar, ayat 54, maksudnya: “Dan kembalilah kepada Allah dan serahlah dirimu kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu selepas itu kamu tidak dapat diberikan pertolongan lagi.”
  • Beramal dengan ilmu. Amalan berpuasa, solat lima waktu, Tarawih, iktikaf, qiyamullail, membaca al-Quran, zakat fitrah dan lain-lain tidak akan diterima Allah jika tanpa ilmu dan keikhlasan.

    Imam Ibnu Ruslan berkata: “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka amalannya tidak diterima oleh Allah SWT.”

    Sekarang cuba kita merenung ke dalam hati sanubari sendiri. Siapa guru kita? Mana kitab kita? Apa hujah kita dan bagaimana dengan ibadat kita? Paling penting, apa nasib kita di akhirat? Pepatah Melayu menyebut, ‘sendiri makan pengat, sendiri mau ingat.’

    Oleh itu, bertindaklah sebelum terlambat. Apakah kita sanggup mengharungi kepenatan beribadat serta berlapar dan dahaga, namun akhirnya ibadat kita hanya sia-sia seperti fatamorgana sahaja.

  • Bersyukur atas nikmat dan subsidi Allah ke atas kita. Lihatlah segala harta, kuasa, takhta, rupa dan glamor yang ada di tangan kita ini, semuanya hasil kurniaan Allah SWT. Realisasikan nikmat dengan melakukan ibadat dan jangan sesekali menggunakan nikmat untuk melakukan maksiat. Firman Allah dalam surah ar-Rahman, ayat 13 bermaksud: “Nikmat manakah daripada Tuhanmu yang kamu dustakan?”

    Ramadan dikenali sebagai bulan mulia lagi berkat. Tetapi awas! Kemuliaan dan keberkatan Ramadan hanya untuk ahli ilmu yang beribadat, bukannya untuk orang jahil dan membuat maksiat.

    Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin pernah berkata: “Seseorang yang gigih berjalan menuju kepada Allah pasti menyaksikan Allah yang Esa ketika melihat makhluk yang banyak. Dan menyaksikan makhluk yang banyak itu daripada Allah yang Esa.”

    Justeru, amat wajar jika melihat makanan, minuman, pakaian, harta benda dan kedudukan manusia, maka terserlah di sebaliknya kekayaan dan kasih sayang Allah SWT ke atas hamba-Nya.

  • Sentiasa bertanggungjawab (akauntabiliti) iaitu dengan cara membangkitkan persoalan pada diri sendiri, apakah asal-usul kita? Kita sebenarnya datang daripada Allah, untuk menjadi hamba Allah dan akan kembali kepada-Nya pada bila-bila masa sahaja.

    Kita tanya lagi, apakah amalan kita selama ini benar-benar menjadikan kita ‘kuli’ kepada-Nya atau segala gerak-geri dan naluri hati kita hanya menjadi kuli kepada nafsu serakah sahaja?

    Nabi SAW pernah mengingatkan kita: “Musuh kamu yang paling kejam ialah nafsumu yang ada di dalam dadamu sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

    Kesimpulannya, ingatlah wahai teman bahawa jika kita masih berdosa, maka cepatlah bertaubat kepada-Nya.

    Jika kita masih buta, carilah orang untuk memimpin dan jika kita masih menjadi kuli kepada nafsu, maka bertukarlah untuk menjadi kuli kepada Allah. Sesungguhnya kita semua daripada Allah dan hanya kepada-Nya kita kembali._Metro




  • No comments: