Tuesday 16 July 2013

Hukum ‘pasangan blogger lucah’, kata Guan Eng

OLEH RITA JONG dan HASBULLAH AWANG CHIK
 
Ahli politik Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bersepakat mengutuk pasangan yang mengirim ucapan Ramadan melalui Facebook dengan menegaskan pasangan berkenaan harus menerima hukuman yang setimpal.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut menganggap pasangan berkenaan telah melakukan satu penghinaan.
 
Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP berkata Tan Jye Yee (Alvin) dan Vivian Lee sudah keterlaluan.
 
“Perbuatan mereka melanggar undang-undang. Mereka seharusnya dihukum. Tiada syak lagi. Ini jelas bertentangan dengan prinsip masyarakat berbilang kaum. Ini jelas satu penghinaan,” ujar Lim.
 
Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar turut sekata berhubung hal berkenaan.
 
“Mereka sudah keterlaluan dan perbuatan mereka menghina orang Islam,” kata beliau.
“Meskipun mereka telah memohon maaf namun itu tidak memadai. Hal itu telah pun berlaku.”
 
Noh bersetuju pasangan berkenaan harus disiasat dan dihukum sekiranya sabit kesalahan.
 
Pandangan itu dikeluarkan setelah pasangan berkenaan dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan siasatan hari ini.
 
Pasangan itu mengirim sekeping gambar di laman Facebook Khamis lalu dengan mengucapkan “Selamat Berbuka Puasa” sementara menikmati ‘bak kut teh’ (sup herba babi). Logo Halal juga dipamerkan pada gambar berkenaan.
 
Gambar berkenaan mengundang kemarahan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.
 
Facebook telah menutup laman berkenaan setelah SKMM menjalankan siasatan selepas menerima beberapa laporan daripada orang awam berhubung kiriman itu.
 
Mereka telah memohon maaf dalam satu laman kiriman video YouTube dengan mendakwa perbuatan mereka hanyalah satu jenaka.
 
Walau bagaimanapun, SKMM tidak melihat isu berkenaan sebagai melucukan.
 
Ketua bahagian penguatkuasaan dan pemantauan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan akan dapat dilengkapkan dalam minggu ini dan pihak polis juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri.
 
Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara satu tahun atau denda RM50,000. - 15 Julai 2013.
 
-The Malaysian Insider 

No comments: