Wednesday 15 May 2013

‘Wajar lacur wanita Asia’

Tokyo: Datuk Bandar Osaka, Toru Hashimoto mencetuskan kemarahan rantau ini selepas mendakwa dasar tentera Matahari Terbit melacurkan wanita Asia sebelum dan sewaktu Perang Dunia Ke-2 adalah perlu.

Beliau berkata, ia bertujuan ‘mengekalkan disiplin’ anggota tenteranya selain memberi rehat kepada mereka yang mempertaruhkan nyawa dalam peperangan itu.

Komen yang dibuat kelmarin itu mencetuskan kemarahan negara jiran yang diceroboh tentera Jepun dan sejak sekian lama tidak puas hati dengan kegagalan Jepun menebus semula kesalahannya ketika perang.
Malah, Hashimoto juga memberitahu pemberita bahawa tiada bukti jelas tentera Jepun memaksa wanita di negara berkenaan menjadi hamba seks kepada askar negaranya.

“Perkara itu mungkin perlu supaya disiplin dapat dikekalkan,” kata Hashimoto.

“Bagi askar yang mempertaruhkan nyawa mereka dalam keadaan mereka ditembak bertalu-talu, sistem hamba seks adalah perlu untuk memberi ketenangan kepada mereka. Ini jelas kepada sesiapa juga.”

200,000 wanita dipaksa


Ahli sejarah berkata, lebih 200,000 wanita di Semenanjung Korea dan China dipaksa memberikan khidmat seks kepada tentera Jepun di tempat pelacuran tentera.

Seorang pegawai kerajaan Korea Selatan tidak dikenali memberitahu agensi berita Yonhap bahawa amat mengecewakan seorang pegawai kanan Jepun membuat kenyataan menyokong jenayah kemanusiaan dan mendedahkan kurangnya pemahaman sejarah yang serius dan hormat kepada hak wanita. - AP/B

No comments: