Thursday 16 May 2013

IPT milik MCA beralih arah?

IPOH - MCA tidak akan patah semangat walaupun DAP terus bermegah dengan mendakwa mendapat sokongan kaum Cina termasuk dalam kalangan pensyarah dan pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditubuhkan atas perjuangan MCA.

Ketua Pemuda MCA negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan DAP itu tidak akan melunturkan semangat MCA sebaliknya terus berjuang membela rakyat termasuk masyarakat Cina.

Menurut beliau, sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ada saat susah dan senang, yang mana kini MCA mengharungi laluan sukar ekoran tindakan majoriti kaum Cina memilih menyokong DAP.

"Walaupun nampaknya pihak di sebelah sana (DAP) hendak tunjukkan kekuatan mereka di saat MCA susah, kita tidak boleh patah semangat.

"Sebaliknya, kita ambil ini sebagai satu peringatan untuk menaikkan semangat dan teruskan perjuangan membela rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Pensyarah Perakaunan UTAR Kampus Kampar, Chong Zhemin, 28, mengumumkan akan menyertai DAP dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming di Wisma DAP Perak di sini hari ini.

Zhemin yang mengakui aktif sebagai penyokong kuat DAP sejak 2007 memilih menyertai DAP kerana menganggapnya langkah terbaik untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Menurut Zhemin, lebih 20 pelajar IPT tersebut turut mengikut jejak langkah beliau menyertai DAP hari ini.

Mengulas lanjut, Hang Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, MCA tidak pernah menghalang kakitangan atau pelajar UTAR menyertai mana-mana parti politik yang disukai.

"Ini memperlihatkan perjuangan MCA selama ini. Walaupun MCA mulakan UTAR, kita tidak paksa pelajar atau pensyarah mesti masuk parti ini sahaja. Kita menghormati hak-hak kebebasan asasi mereka," katanya.

-Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: