JAKARTA - Seorang menteri Indonesia hari ini menyokong idea untuk mewujudkan ladang ganja yang diusahakan oleh kerajaan negara ini.
Menteri Perusahaan, Dahlan Iskan yang sering melaungkan slogan 'harapan perkilangan' berkata, beliau berminat dengan idea berkenaan selepas mendapat maklumat daripada seorang ahli farmasi tentang kesan dan penggunaan ganja dalam perubatan.
"Idea itu dilontarkan oleh ahli farmasi tersebut yang mendakwa daun ganja boleh digunakan sebagai ubat untuk sakit jantung dan kanser.
"Oleh itu, kenapa kementerian berkaitan tidak mengusahakan ladang penanaman ganja sebagai jalan alternatif untuk menggantikan ubatan, selain daripada membakar bahan terlarang tersebut," katanya.
Indonesia mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyeludup dadah termasuk jenis ganja yang melebihi satu kilogram.
Kebiasaannya, tentera dan polis akan membakar ladang ganja sebagai usaha pembasmian dadah di negara ini.
Dahlan, seorang taikun media dan mempunyai potensi sebagai calon Presiden, turut dikenali sebagai seorang menteri yang suka menarik perhatian umum dan sering berdepan situasi memalukan.
Pada Januari lalu, Dahlan memusnahkan sebuah prototaip kereta elektrik yang bernilai AS$300,000 (RM900,000) selepas memandu kereta berkenaan ke dalam gaung. . - AFP/Utusan
No comments:
Post a Comment