Satu kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi Universiti Yale mendapati, juri lelaki juga lebih cenderung untuk mempercayai bahawa wanita gemuk adalah pesalah berulang dan seorang yang jahat.

Penyelidik menghimpunkan sekumpulan 471 peserta dengan pelbagai saiz tubuh yang bertindak sebagai juri. Satu kes penipuan cek dikemukakan untuk penilaian.

Mereka juga menampilkan satu daripada empat imej iaitu lelaki gemuk, lelaki kurus, wanita gemuk dan wanita kurus yang menjadi ‘tertuduh’.

Peserta dikehendaki menyatakan purata kesalahan pada skala lima mata.

Hasil kajian mendapati, tiada sikap ‘pilih kasih’ apabila peserta wanita di dalam kumpulan itu menilai ‘tertuduh’ wanita dan lelaki.
Malangnya, apabila peserta lelaki mengumumkan penghakiman mereka ke atas tertuduh wanita, jelas wujud keputusan berat sebelah membabitkan wanita gemuk, malah keputusan juri lelaki yang kurus didapati lebih teruk.

“Hasil kajian kami mendapati, juri lelaki terbukti lebih cenderung untuk menyatakan tertuduh wanita yang gemuk bersalah, berbanding pesalah bertubuh kurus.

“Namun keputusan juri lelaki kurus lebih mendukacitakan kerana mereka kerap melabelkan wanita gemuk sebagai ‘pesalah berulang’ dan menyedari jenayah mereka,” kata salah seorang penyelidik berkenaan.

Kajian berkenaan secara jelas mendapati, juri wanita tidak menunjukkan sikap berat sebelah dan jika ada pun, angkanya amat kecil.

AGENSI/BH