Monday 9 July 2012


Semangat tentera Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SELEPAS Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talin dan Abdullah bin Abi Rawahah gugur syahid, bendera Islam kini menunggu kemunculan ketua baru untuk menjulangnya sebagai tanda tentera Islam tetap bertahan dan sama sekali tidak akan menyerah kalah pada pihak musuh.
Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyebut siapa pengganti kepada ketiga-tiga ketua panglima tentera Islam yang telah gugur syahid itu.
Ini menyebabkan tentera Islam sedikit kucar-kacir kerana tiada pemimpin mengambil alih bagi menerajui dan menentukan hala tuju perjuangan mereka.
Namun seorang sahabat yang dahulunya pernah berjuang di Perang Badar, Thabit bin Aqram terus bertindak mengambil bendera Islam lalu dijulang bendera tersebut tinggi ke udara.
Melihatkan bendera Islam berkibar-kibar di udara, lalu seluruh tentera Islam segera berkumpul pada bendera tersebut bagi menantikan arahan daripada kepimpinan baru pasukan.
Tsabit sama sekali tidak bermaksud untuk mengambilalih peranan ketua panglima tentera Islam, malah sambil mengibarkan bendera itu, beliau melaung-laungkan suaranya: "Wahai sekalian, orang Islam! Lantiklah seorang di kalangan kamu untuk menjadi ketua. Segeralah kamu lantik demi mempertahankan maruah dan agama Allah ini!"
"Kamulah yang menjadi ketua kami, wahai Tsabit," seru seorang anggota tentera Islam.
"Aku tidak layak untuk mengepalai barisan tentera ini," balas Tsabit.
Namun apabila melihat seorang sahabat (yang dahulunya adalah musuh ketat Islam), Khalid bin Al-Walid adalah antara anggota tentera Islam yang mula-mula sampai dan menghampirinya, Tsabit terus menyerahkan bendera Islam itu kepada Khalid.
Alangkah terkejutnya Khalid dengan tindakan Tsabit itu.
"Wahai Tsabit, bukankah kamu lebih tua? Malah kamu sebelum ini merupakan Ahli Badar (anggota tentera Badar), tentulah kamu yang lebih layak untuk menjadi ketua berbanding aku," soal Khalid.
Lalu Tsabit pun menjawab: "Ambillah wahai Khalid akan bendera ini. Aku tidak mengambil bendera ini melainkan untuk diserahkan kepada kamu. Sekarang bukan masanya untuk bertolak-tolakan. Suasana kini semakin genting dan memerlukan seorang pakar perang dan kamu adalah orangnya."
Disebabkan Khalid masih baru memeluk Islam dan bimbang ada tentera Islam yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai ketua, lalu Tsabit pun dengan lantangnya berkata; "Wahai saudara-saudaraku, tetapkanlah di hati kamu bahawa Khalid bin Al-Walid adalah yang paling layak memegang dan mempertahankan bendera Islam ini. Dialah yang paling tepat sebagai panglima perang kita!"

No comments: