Friday 27 July 2012


Ramadan membangun jiwa muttaqeen
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
DALAM Surah al-Baqarah ayat 183 dinyatakan dengan jelas mengenai orang yang beriman dan kewajipan untuk melakukan siyam atau puasa. Ayat itu juga memberi perisyaratan hubungan siyam sebagai madrasah rohiyyah untuk membangun jiwa muttaqeen.
Jiwa muttaqeen adalah puncak kepada kemuliaan diri insan di sisi Allah (Surah al-Hujurat ayat 13). Isu takwa ini adalah isu pokok yang membezakan orang yang beriman dengan yang lainnya. Pancaran jiwa muttaqeen adalah gambaran hubungan rapat manusia dengan Allah (taqarrub Ilallah).
Kedekatan hubungan Khaliq-Makhluk ini menyebabkan seluruh pertimbangan manusia dalam percakapan, perbuatan dan amalnya mengambil pertimbangan Allah untuk mendapatkan redha-Nya.
Siyam dalam maksud yang luas bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi adalah madrasah rohiyyah yang melatih insan terhadap kawalan diri zahir dan batin. Latihan ini amat penting kepada manusia supaya jiwa abid (ahli ibadah) sentiasa dalam kehambaan dirinya dengan Allah.
Ia membangun jiwa ibadullah dan ibadurrahman yang membentuk watak abid menjadi orang yang berjiwa ruku' dan sujud. Asas ini amat penting bagi menghasilkan jiwa patuh, taat, akur dan tunduk dan pekerti taabudi yang tinggi kepada Allah.
MADRASAH ROHIYYAH
Rasulullah SAW dalam hadisnya memberi asas mengenai disiplin dan adab. "Ya Allah didiklah aku dengan didikan yang terbaik". Adab dan ta'dib adalah sesuatu yang amat penting dalam melakukan tarbiyyah terhadap rijal atau manusia.
Addaba membawa maksud adab merujuk kepada disiplin akal, hati dan amal. Perjalanan rijal membangun disiplin akal membolehkan penjanaan ilmu berlaku, ketangkasan hati terjadi dan kebaikan amal terlihat. Ia amat penting sebagai suatu proses pembangunan insan seutuhnya. Tanpa disiplin, adab tidak akan lahir.
Fokus pembangunan rijal ialah hati. Faktor dalaman diri manusia ini memerlukan tarbiyyah rohhiyyah supaya terhubung antara faktor akal dengan faktor naql atau wahyu yang menyerasikan fikir dan zikir supaya ia memberi makna kepada amalan.
Siyam yang dilalui adalah proses memperkukuh hati dengan kawalan diri yang tinggi. Siyam dalam ertikata yang luas tidak sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia juga mengawal pancaindera daripada terhubung dengan perkara-perkara yang mungkar dan menyalahi. Siyam juga meletakkan manusia memiliki daya ihsan yang tinggi dengan Allah kerana jiwa muttaqeen meletakkan Allah itu segala-gala.
AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185 memberikan perisyaratan tentang al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan untuk memberi pertunjuk kepada manusia mengenai yang hak dan batil.
Maksud petunjuk dalam Islam amat luas maknanya. Al-Quran tidak sekadar memberikan manusia ilmu, maklumat, prinsip dan kisah tetapi terkandung hikmah yang tinggi membentuk pemikiran yang rohhiyy mengenai kebesaran Allah dan hikmah yang terdapat dalam kejadian-Nya.
Petunjuk tidak sekadar menjadikan manusia berilmu tetapi sekali gus membentuk akhlak karimah yang menjadi sumber teladan dan ikutan kepada manusia.
Al-Quran tidak sekadar ayat-ayat yang bersifat harfiah dibaca untuk mendapatkan fadhilat atau pahala tetapi ia sarat dengan ilmu sebagai sumber petunjuk memahami alam dan kehidupan dan bukti-bukti saintifik bagi keperluan manusia.
Ramadan yang dilalui diiringi dengan tilawah dan tadarus mendekatkan para abid dengan kalimatullah supaya al-Quran sentiasa dijadikan sumber petunjuk dalam proses pengilmuan dan kehidupan.
JIHAD AN NAFS
Rasulullah SAW selepas kembali dari Perang Badr yang berlaku dalam bulan Ramadan menyatakan kepada sahabat bahawa "Kita baru saja kembali dari perang yang kecil ( jihad al-asghar) dan akan berhadapan dengan jihad yang lebih besar (jihad al-akbar) atau jihad al- nafs iaitu jihad nafsu atau jihad diri.
Manusia yang memiliki nafsu adalah sebesar-besar cabaran dalam perjuangan hidup. Sesetengah ulama mengkategorikan nafsu dalam tiga tahap iaitu Nafs amarah bissuk iaitu nafsu haiwani, nafsul lawamah dan nafs al mutmainnah iaitu nafsu orang berjiwa tenang.
Faktor nafsu adalah sesuatu yang fitrah dikurniakan Allah kepada manusia. Tanpa nafsu manusia hilang keinginan, kemahuan dan perasaan. Daripada nafsu yang dimiliki manusia memerlukan tarbiyyah rohiyyah supaya nafsu dapat dikawal dan mencari ititk keseimbangan dalam melaksanakan amalan, keinginan dan perbuatan.
Contoh mudah nafsu ini ialah ibarat kuda liar. Kuda liar apabila ditunggangi boleh menyebabkan penunggang menghadapi masalah. Justeru kuda perlu dijinakkan dengan latihan dan kawalan tali kekang. Kuda yang jinak dan terlatih akan ikut cakap tuannya atau penunggang itu sendiri.
Nafsu manusia juga sedemikian. Ramadan yang dilalui dengan siyam sebagai intipati penjinakan hati dan pengawalan diri bakal meletakkan hati insan dalam jiwa muttaqeen. Disiplin hati ini amat penting kepada manusia kerana setiap amal bermula dengan niat.
Kalau niat manusia terbina dengan rasa taabudi yang tinggi rasa ketakwaan akan hadir dalam diri manusia dan ia menjadi asas bagi menatijahkan amal soleh dan solehah bagi insan.
KEMBALI KEPADA FITRAH
Sebulan Ramadan yang dilalui merupakan tazkiah an nafs bagi orang yang beriman dengan mengalami proses pengawalan diri, pembersihan jiwa dan hati supaya insaf ketuhanan berlaku dan ia adalah barometer yang memberikan daya kawalan hati dan amal.
Madrasah Rohiyyah yang dilalui ini dengan solat tarawih, qiyam dan tahajud membolehkan jiwa ruku' dan sujud terbina, berbuka dan sahur adalah tanda kesyukuran terhadap rahmat Allah dan ujian bangun pagi bagi yang beriman, menggunakan pancaindera secara makruf, selalu melakukan muhasabah diri di depan Allah supaya jiwa tawaduk mengambil tempat hingga para abid (ahli ibadah) sentiasa melakukan sesuatu dalam redha-Nya.
Asas ini sangat penting bagi mengembalikan semula orang yang beriman ke dalam fitrah diri. Diumpamakan sebuah kereta yang lalu di lebuh raya kehidupan memerlukan ia dibawa ke bengkel untuk digantikan minyak hitam atau pistonnya supaya kereta ini sentiasa dalam keadaan baik untuk menjalani lebuh raya kehidupan yang banyak cabarannya.
Aidilfitri yang dirayakan selepas sebulan melalui madrasah rohiyyah ibarat kelahiran anak kecil seputih kain untuk melalui perjalanan hidup yang fitrah. Manusia yang beriman akan melalui proses transformasi diri yang hebat.
Kalau dulunya para abid ini seorang sombong dan takabur, melalui Madrasah Ramadan ia menjadi seorang yang tawaduk dan menginsafi diri bahawa seluruh rahmah dan nikmah itu datangnya daripada Allah.
Dari seorang yang kedekut dan bakhil menjadi seorang pemurah dan memiliki ihsan yang tinggi terhadap manusia lain. Dari seorang yang gelojoh, melampau dalam cakap dan perbuatan menjadi seorang yang tenang dan sabar. Jika ini berlaku ia adalah tanda- tanda transformasi atau perubahan diri insan yang mengembalikan diri kepada fitrah.
Perubahan diri manusia boleh diukur apabila setiap proses tarbiyyah berlaku. Ukuran yang paling nyata ialah terhadap akhlak dan gelagat manusia. Kalau sebelum Ramadan amal-amal yang bersifat mazmumah nyata ada pada dirinya.
Tetapi selepas melalui proses tarbiyyah an nafs ini wataknya berubah dan memiliki kekuatan amal yang sifatnya mahmudah.
Sukakan hal-hal yang baik dan bermanfaat, tidak kedekut dan bakhil, baik sangka terhadap manusia lain, memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Sekiranya ini tidak terjadi bermakna tarbiyyah rohiyyah tidak terjadi dan ia tidak kembali ke fitrah dan ramadan tidak membentuknya menjadi orang yang berjiwa muttaqeen.
Muhasabah ini penting supaya melalui Ramadan mestilah dengan hati ikhlas dan suci bersih. Lantaran kembalinya insan kepada tuntutan fitrah adalah isyarat orang yang menerima redha Allah.
Sumber: Utusan Malaysia

No comments: