Tuesday 24 July 2012


Mensyukuri nikmat Ramadan

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRE) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

ALHAMDULILLAH tahun ini kita bertemu lagi di bulan Ramadan, bulan suci yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan oleh Allah SWT. Ketika umat Islam dari Maghribi sehingga Afghanistan menempuh dugaan paling hebat kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi ekoran cuaca panas, kita umat Islam Malaysia amat beruntung dengan pelbagai jenis makanan yang terhidang di depan mata tatkala berbuka puasa.
Jangan sesekali melupakan nasib umat Islam yang lain di negara-negara seperti Iraq, Pakistan, Syria dan sudah semestinya di Palestin. Di sana mereka terpaksa menjalani ibadah puasa dengan mengikat perut. Ada di antara negara tersebut berada dalam zon perang. Di Malaysia, kita sungguh aman. Kita bebas menjalani ibadah puasa dengan ditambah ibadah-ibadah lain sepanjang bulan ini.
Pengalaman penulis ketika berada di Paris, Perancis, baru-baru ini bagi membentangkan satu kertas kerja di persidangan antarabangsa, berkesempatan melihat sebuah negara yang maju tetapi kos sara hidup mereka amat tinggi. Segala-galanya cukup mahal. Harga tanah di situ berlipat kali ganda berbanding harga tanah di Kuala Lumpur.
Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan terdapat ramai penduduk yang tidak memiliki rumah. Sebahagian mereka terpaksa bekerja sebagai pencopek saku. Menangani mereka bukannya mudah kerana mereka ini dalam keadaan terpaksa untuk menyara hidup mereka. Jangan terkejut jika anda melihat peminta sedekah di kalangan kanak-kanak.
Dianggarkan hampir separuh penduduk Paris merupakan pendatang asing. Mereka bekerja di merata-rata tempat terutamanya dalam industri pelancongan Paris. Penulis bernasib baik kerana bertemu dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa yang boleh berkomunikasi Bahasa Melayu dengan fasih.
Maklumlah rata-rata penduduk Perancis lebih mengutamakan bahasa mereka berbanding Bahasa Inggeris. Malahan, rancangan televisyen yang berbahasa Inggeris pun dialih suara ke Bahasa Perancis. Mereka lebih berbangga berbahasa Perancis, bahkan ada di antara mereka tidak boleh langsung berbahasa Inggeris tetapi menariknya masyarakat mereka lebih maju berbanding negara kita. Berbeza di Malaysia, Bahasa Melayu semakin dipinggirkan. Adakah ini menggambarkan jati diri rakyat Perancis lebih kuat berbanding rakyat Malaysia?
Berbalik kepada pemandu teksi tadi. Dia telah menetap di Paris selama 32 tahun. Kehidupannya di sana tidaklah secantik kota Metropolitan Paris. Dia terpaksa mengharungi kesukaran. Penulis amat teruja melihat ketabahannya menjalani kehidupan di Paris sehingga berjaya menyara anak-anak ke menara gading.
Salah seorang anaknya bekerja sebagai akauntan di firma perakaunan yang terkenal di dunia. Dia mempunyai ramai adik beradik yang menetap di Malaysia. Kakaknya menetap di Johor manakala adik-adiknya pula menetap di Perak. Disebabkan adik beradiknya berada di Malaysia, dia sekeluarga selalu mengunjungi Malaysia. Menurutnya, anak-anaknya masih diajar berbahasa Melayu meskipun dia berkahwin dengan rakyat Perancis dan berada di negara asing. Begitu kukuh jati dirinya!
Penulis sempat bertanya soalan kepadanya sama ada dia gemar berada di Malaysia. Menurutnya, berada di Malaysia lebih baik berbanding di Perancis. Adik beradiknya sedang menjalani kehidupan yang selesa di Malaysia tidak sebagaimana ketika mereka berada di zaman Pol Pot yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman. Kalau diberi pilihan dia ingin menetap di Malaysia, namun kerana beberapa kekangan, dia masih menetap di Perancis. Baginya, rakyat Malaysia amat beruntung. Hidup dengan aman damai dan boleh mencari rezeki sebanyak yang mungkin.
Penulis tersenyum mendengar kata-katanya dan berasa amat bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan penulis, dia berkali-kali memuji Malaysia sehingga tiba di hotel, dia sempat mengakhiri kata-kata bahawa dia sekeluarga tidak sabar-sabar untuk datang ke Malaysia pada Disember ini.
Itu pengalaman penulis dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa. Penulis juga berkesempatan berbual dengan pemandu teksi berketurunan Maghribi ketika dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de gaulle untuk pulang ke Malaysia. Penulis memaklumkan kepadanya mengenai penerbangan penulis iaitu menggunakan perkhidmatan MAS. Mendengar sahaja syarikat penerbangan MAS, dia terus menyatakan bahawa syarikat ini adalah antara syarikat penerbangan terbaik di dunia dan rata-rata penumpang cukup berpuas hati dengan syarikat ini.
Sememangnya MAS telah mengharumkan nama Malaysia sekian lama dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada para penumpang seluruh dunia.
Sekali lagi, penulis mengajukan soalan yang sama kepada beliau sebagaimana pemandu teksi berketurunan Melayu Champa, adakah beliau berasa seronok bekerja di Paris? Jawapannya tetap sama, dia terpaksa menempuh liku-liku kehidupan kerana terpaksa mengharungi diskriminasi di kalangan penduduk di situ.
Menjalani kehidupan di Paris umpama indah khabar dari rupa kerana kos sara hidup amat tinggi. Namun dek kerana sesuap nasi dia tetap bekerja di situ.
Dua kisah pemandu teksi beragama Islam yang bekerja di negara yang majoritinya bukan Islam mengingatkan penulis betapa bersyukurnya menjadi warga Malaysia terutamanya tatkala Ramadan ini yang dengan jelas menampakkan bahawa Malaysia negara Islam yang amat sesuai untuk didiami bagi sesiapa sahaja. 

No comments: