Tuesday 22 May 2018

Paksa telan julap keluarkan 106 kapsul kokain



NEW DELHI: Polis India terpaksa menggunakan julap selama beberapa hari untuk mengeluarkan 106 kapsul kokain bernilai AS$900,000 (RM3.5 juta) daripada perut seorang wanita Brazil yang cuba menyeludup bahan itu ke negara berkenaan.
Wanita berusia 28 tahun berkenaan bersama-sama kapsul dibawa ke mahkamah di New Delhi yang mengenakan tahanan ke atasnya di penjara Tihar.
Wanita itu ditahan pada 14 Mei lalu selepas tiba di lapangan terbang New Delhi dari Sao Paolo, menurut Superintenden Biro Kawalan Narkotik, Vishwa Vijay.
“Dia dibawa ke hospital Safdarjung dan doktor menggunakan julap selepas ujian sinar X menunjukkan kewujudan kapsul berkenaan,” katanya.
Kapsul itu, mengandungi kira-kira 930 gram kokain asli Amerika Selatan, sepatutnya disampaikan kepada penjual di ibu kota India itu.
“Ia adalah kapsul kokain paling tinggi dikeluarkan daripada perut orang profesional dalam menelan dadah di New Delhi,” kata Vijay.
Hukuman maksimum bagi penyeludupan dadah adalah 20 tahun menurut undang-undang India.

-Metro

No comments: