Monday 9 April 2018

Bunuh, potong kemaluan budak kurang upaya



Beijing: Seorang lelaki ditahan kerana membunuh dan mencacatkan mayat remaja kurang upaya berusia 15 tahun yang ditemui terikat pada tiang besi di kampungnya di utara China, lapor media tempatan.
Mayat remaja yang hanya dikenali sebagai Ren yang tangannya diikat pada tiang besi itu ditemui dengan seluar dilurutkan, manakala kemaluannya dipotong.
South China Morning Post melaporkan, polis di Zhouzhi, wilayah Shaanxi dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 39 tahun dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan susulan penemuan mayat remaja lelaki terbabit di luar sebuah rumah di kampung Zhendong.
Ren, penghuni kampung berhampiran yang mempunyai masalah pembelajaran, dipercayai menghadiri festival kuil tahunan di kampung itu kira-kira 50 meter dari lokasi jenayah sebelum dibunuh.
Neneknya dilaporkan mencarinya sejak dia menghilangkan diri Selasa lalu sebelum penghantar susu memaklumkan mengenai penemuan mayat remaja malang itu.
“Ketika saya sampai di tempat kejadian, mayatnya masih terikat dan dikelilingi orang ramai. Polis belum tiba. Saya menjerit meminta mereka menurunkannya. Dia kehilangan begitu banyak darah, sebab itulah dia mati,” katanya.
Remaja itu berhenti sekolah dua tahun lalu dan tinggal bersama nenek serta bapanya selepas ibu bapanya bercerai.
Menurut bapanya, dia anak yang baik yang keluar rumah setiap hari selepas sarapan dan pulang sekitar jam 9 malam.
Suspek pembunuhan itu yang namanya tidak didedahkan tinggal di kampung tempat mayat mangsa ditemui dan ditahan 15 jam selepas kejadian. - Agensi/Metro

No comments: