Monday 2 April 2018

Bayi dilarikan monyet ditemui mati

OPERASI besar-besaran mencari bayi lelaki berusia 17 hari yang dilarikan monyet di sebuah kampung di Cuttack, Odisha, India semalam berakhir dengan penuh tragik apabila mayat mangsa ditemui terapung di dalam perigi, hari ini.
Hindustan Times melaporkan, bayi itu dilarikan seekor monyet ketika sedang tidur di dalam kelambu di sebelah ibunya di rumah mereka di kampung Talabasta pada pagi semalam.
Ibu bayi itu melihat anaknya dilarikan lalu meminta pertolongan daripada penduduk kampung yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa.
Berpuluh-puluh pegawai hutan yang dibantu penduduk kampung melancarkan operasi mencari bayi itu di hutan berhampiran sebelum mayat mangsa ditemui terapung di dalam perigi di rumahnya.
“Kemungkinan bayi itu terjatuh ke dalam perigi ketika dibawa lari oleh monyet berkenaan,” kata jurucakap polis, Biswaranjan Sahoo.
Katanya, serangan membabitkan monyet sering berlaku di daerah itu, tetapi ini adalah kali pertama haiwan berkenaan melarikan bayi.
“Mayat bayi itu dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. 

- Agensi/Metro

No comments: