Thursday 29 March 2018

Belit dalam bilik air



Sungai Petani: Misteri kehilangan empat ayam peliharaan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila dia menemui ular sawa batik di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil di sini, semalam.
Pada kejadian jam 2 pagi, ular itu membelit seekor ayam betina yang diletakkan di bilik berkenaan.
Pemilik ayam berkenaan, D Siva Lingga, 36, berkata, sebelum kejadian, dia dan ahli keluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising ayam peliharaannya.
Katanya, dia segera memeriksa bilik air sebelum terperanjat apabila mendapati ular sawa berkenaan.
“Saya terus mengarahkan isteri (M Vengatraman, 33) untuk menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.
Siva Lingga berkata, sebelum ini menyangka empat ayam peliharaannya yang hilang itu dicuri.
“Memandangkan ada seekor ibu ayam yang sedang mengeram, saya meletakkan haiwan itu di dalam bilik air rumah bagi mengelakkan ayam itu dicuri,” katanya
Sementara itu, Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi.
Beliau berkata, susulan itu, tiga anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di rumah pengadu tidak lama kemudian, kami terus menangkap ular itu dengan peralatan khas,” katanya.

-Metro

No comments: