Friday 8 September 2017

Curiga bakal menantu tak serupa lelaki



DAERAH Purworejo, Indonesia, kecoh dengan kejadian seorang wanita menyamar sebagai lelaki untuk berkahwin dengan kekasihnya, minggu ini. 
Media dan portal berita Indonesia melaporkan, bakal ibu mentuanya yang curiga kerana suara serta tubuh bakal menantunya itu tidak seperti lelaki, membuat laporan polis, beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan yang dijadualkan Selasa lalu.
Bakal menantunya itu yang nama sebenarnya ialah Nova Aprida Avriani berusia 27 tahun dari Desa Binong, Kota Tangerang, Jawa Barat, menyamar menggunakan nama Pratama, meminang Wilis Setyowati, 26, pada 31 Ogos lalu.
Dia memalsukan dokumen pengenalan diri dan permohonan perkahwinan.
Kompas, kelmarin, melaporkan jurucakap polis Purworejo, Kholiq Mawardi berkata, susulan laporan diterima itu, pihaknya menahan Pratama tetapi mendapati dokumen pengenalan diri suspek menunjukkan dia adalah lelaki.
“Tdak berpuas hati, kami membawa Pratama ke hospital untuk pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan dia adalah wanita.
“Wanita itu akhirnya mengaku menyamar sebagai lelaki untuk berkahwin dengan Wilis yang juga kekasihnya,” katanya.
Kholiq berkata, menurut keterangan keluarga dan saksi, Wilis dan ‘calon suaminya’ itu sudah menjalin hubungan sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, Nova juga mengaku memalsukan dokumen pengenalan diri untuk menyamar sebagai lelaki.
“Kami menahan Nova atas tuduhan penipuan dan pemalsuan dokumen.
“Dia akan didakwa mengikut Fasal 263 berkaitan pemalsuan dokumen dan berdepan hukuman penjara enam tahun jika didapati bersalah,” jelasnya.

-Metro

No comments: