Monday 9 January 2017

Kasih ibu membawa ke mati



Sucre, Bolivia: Seorang wanita mati akibat disengat semut api berbisa selepas turut diikat pada pokok dipenuhi serangga itu selepas dia cuba menyelamatkan dua anaknya yang diikat sebelum itu, kerana salah sangka mereka pencuri kereta.
Wanita berusia 52 tahun itu masih hidup ketika diselamatkan polis namun meninggal dunia di hospital akibat kesukaran bernafas berikutan kerongkongnya bengkak teruk akibat sengatan semut api.
Menurut Daily Mail, Dalam kejadian di Caranavi, kira-kira 160 kilometer di timur La Paz, sehari sebelum Tahun Baru lalu, wanita itu cuba membantu dua anak lelakinya yang diikat pada pokok itu oleh orang ramai yang menuduh mereka cuba mencuri kereta.
Orang ramai kemudian mengikat wanita itu bersama dua anaknya pada pokok yang diketahui ada semut api jenis Brazil itu.
Dua anaknya yang turut diselamatkan polis, kini semakin beransur pulih.
Menurut laporan media tempatan, mereka tiga beranak dibelasah sebelum diikat pada pokok.
Laman web stesen radio tempatan menyiarkan gambar mereka diikat pada pokok dengan mata ditutup dengan kain.
Menurut pihak berkuasa, wanita itu dan dua anaknya berusia 22 serta 28 tahun pergi perkampungan itu dari La Paz untuk menuntut hutang mereka sebaliknya dituduh cuba mencuri kereta.
Ketua polis tempatan Gunter Agudo berkata: “Kami berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa namun kecederaan wanita berusia 52 tahun itu terlalu teruk dan terpaksa dibawa ke hospital.
“Malangnya, dia meninggal dunia pada 3.30 petang, sehari sebelum Tahun Baru.”
Setakat ini, hanya seorang suspek ditahan kerana disyaki menghasut penduduk tempatan supaya melaksanakan hukuman itu dan sudah dihadapkan ke mahkamah.

-Metro

No comments: