Thursday 2 April 2015

Amuk diejek mati pucuk

Douliu City: Seorang suami menetak isterinya hingga mati dengan pisau pemotong daging selepas mengejeknya kerana mati pucuk.

Chang Yi-hsin naik berang di kediaman mereka di Yunlin, barat Taiwan selepas isterinya Lin Yue-gui memperlekehkannya kerana menggunakan Viagra.

Ketika bertengkar, wanita berusia 59 tahun itu memberitahu suaminya, 63, alat kelaminnya hanya berguna untuk ke tandas.

Polis berkata, Chang mengambil pisau itu di dapur dan menetak kepala isterinya sebelum mengelar tubuh mangsa.

Dia kemudian keluar dan cuba membunuh diri dengan baring di bawah pintu garaj automatik.

Apabila tersepit, Chang menelefon bomba untuk menyelamatkannya tetapi tidak memberitahu mereka mengenai perbuatannya membunuh isterinya, beberapa meter dari tempat berkenaan.

Jurucakap polis berkata: “Apabila anggota bomba tiba, mereka menemui Chang tersepit di bawah pintu garaj.

“Chang mengaku mahu membunuh diri tetapi langsung tidak menyebut yang dia baru membunuh isterinya.”

Perbuatannya hanya terbongkar apabila anggota bomba bertanya sama ada dia tinggal seorang diri.

“Dia memberitahu mereka: ‘Oh saya baru menikam isteri saya. Saya berharap dia tidak mengalami kecederaan teruk,” kata jurucakap berkenaan.

Lin ditemui berlumuran darah dan dihantar ke hospital tetapi disahkan mati sebaik tiba akibat kecederaan teruk yang dialaminya.

Jurucakap hospital berkata: “Lin cedera teruk di kepala dan belakang.”

Chang akhirnya mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Jurucakap polis berkata: “Dia berasa amat kesal dengan apa yang berlaku. Katanya, dia malu mengenai keadaannya yang mati pucuk.” -Metro

      

No comments: