Thursday 12 March 2015

Mufti Perak bimbang aliran dakwah semasa

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyuarakan kebimbangan mengenai aliran dakwah semasa yang dilihat lebih menjurus kepada menjadi penglipurlara dan begitu mudah mengeluarkan 'hukum' yang kadangkala tidak memenuhi kehendak syarak.

Beliau berkata, situasi itu mengakibatkan berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam serta kecelaruan antara menyampaikan ilmu dengan unsur luaran dalam berdakwah, yang dibimbangi tersasar daripada matlamat dakwah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

"(Sebagai contoh) seperti sudah menjadi suatu keperluan semasa kepada pendakwah apabila berdakwah atau berceramah, nyanyian dan alunan lagu mesti dikumandangkan adakalanya sampai tahap seolah-olah lagu itu satu keutamaan ketika berceramah sehingga terdapat penceramah digelar dengan gelaran tertentu seperti bollywood dan seumpamanya.

"Terdapat juga kecenderungan menyelit unsur humor dan lawak berlebihan dalam dakwah sehingga penceramah tertentu lebih dikenali dengan lawaknya berbanding ilmu disampaikan dan lawaknya menjadi bahan ulangan yang sering disebut-sebut berbanding isi dan kandungan ceramahnya.

"Ada juga pendakwah mengambil pendekatan tidak menghormati fatwa dikeluarkan oleh institusi fatwa negeri-negeri dengan mengeluarkan kenyataan menyanggahi fatwa itu, barangkali bertujuan menimbulkan kesan segera untuk menampilkan beliau sebagai lebih berilmu daripada ulama dan pendakwah sedia ada," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini lewat petang semalam.

Harussani juga berkata, kegelojohan dan kegopohan mengejar selain keredaan Allah ketika menyampaikan dakwah akan menyebabkan seseorang pendakwah tidak cermat mentafsirkan al-Quran, cuai dalam menaqalkan hadis sehingga mencampur adukkan antara riwayat sahih dan tidak sahih serta membawa cerita yang tidak masuk akal.

Sementara itu, katanya, jawatankuasa fatwa negeri sudah meluluskan fatwa bahawa ahli kumpulan IS yang mati ketika berperang sebagai bukan mati syahid.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 23 Februari lalu dan akan dibawa ke Penasihat Undang-undang negeri untuk proses deraf serta mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk diwartakan. - BH

No comments: