Tuesday 10 March 2015

Bayi ditemui masih hidup selepas 12 jam kemalangan

UTAH, Amerika Syarikat – Seorang bayi perempuan masih hidup walaupun selepas terperangkap dalam cuaca sejuk selama 12 jam bersama mayat ibunya apabila kereta yang mereka naiki terhumban ke dalam sungai dari atas sebuah jambatan di sini.

Bayi berusia 18 bulan itu ditemui oleh seorang nelayan ketika dia menghampiri kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut sebelum menghubungi pihak polis.

Jurucakap Jabatan Polis Spanish Fork memberitahu, bayi yang dikenali sebagai Lily itu ditemui berada di tempat duduk belakang kereta tersebut, manakala ibunya, Lynn Jennifer Groesbeck, 25, sudah tidak bernyawa di kerusi pemandu.

"Kerusi kereta tidak terkena air sungai kerana kereta itu berada di atas tambak," katanya.

Keluarga Groesbeck dalam satu kenyataan memberitahu, ketika kejadian berlaku, wanita malang itu sedang memandu pulang ke rumahnya.

Pihak polis percaya bahawa kereta wanita itu terbabas ke tepi jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut.

Lily yang kini dirawat di Hospital Primary Children dilaporkan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pemantauan rapi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Twb8ArI3
 

No comments: