Monday 30 June 2014

Timmy Say :Islam bukan agama main-main


Di satu kedai kopi, seorang kawan bertanya pandangan saya mengenai kes perbalahan penjagaan anak antara seorang bapa Islam dan ibu Hindu, perkahwinan seorang wanita Hindu yang bernamakan Melayu dan juga rampasan jasad seorang Cina oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Orang bukan Islam dan bukan Melayu yang mengikuti kes sedemikian melahirkan satu persepsi kurang baik terhadap Islam. Antara punca persepsi kurang baik ialah mereka ‘mengukur’ agama Islam melalui tindakan umat dan penjaga Islam berdasarkan apa yang mereka tahu. Mereka juga ‘mengukur’ Islam terhadap kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Dalam satu-satu keluarga bukan Islam, terutama keluarga Cina, agama bukan perkara terpenting dalam kehidupan. Di dalam sebuah rumah, ada Kristian, ada Buddha, ada Taois malah ada yang hilang kepercayaan pada wujudnya Tuhan.

Ketika di musim perayaan, atas dasar menghormati hasrat ibu bapa, anak yang sudah Kristian turut mengikut orang tua mereka ke tokong dan kuil untuk melakukan upacara keagamaan, dan begitu juga sebaliknya. Semua ini dilakukan untuk menjaga keharmonian keluarga.

Bagi bukan Islam, agama bukan penentu segalanya, dan disebabkan tiada pelaksanaan pihak berkuasa untuk agama mereka, maka larangan agama hanya diikuti dengan disiplin sendiri.

Oleh itu, bukan Islam yang tidak mengenali Islam susah memahami konsep Islam sebagai satu sistem.

Apa yang saya tahu, Islam bukan agama yang main-main. Ia adalah agama yang lengkap dengan sistemnya sendiri untuk menjaga sistem itu sendiri.

Dalam Islam, soal halal dan haram, dosa dan pahala menjadi agenda penting. Ia bermula daripada makanan dan rezeki sehinggalah masalah negara yang lebih besar seperti kemiskinan dan rasuah.

Namun begitu, pada hari ini, umat Islam seolah-olah memberikan reaksi yang sangat besar pada soal makanan, tapi tidak pada masalah negara. Kontroversi yang melanda coklat sebuah jenama terkemuka ialah contoh terbaik.

Bayangkan jika umat Islam memberikan reaksi jijik yang sama pada coklat kepada masalah rasuah, kemiskinan, kemunduran dalam pendidikan dan pembaziran yang sedang melanda negara, sudah tentu Malaysia akan lebih efektif dan maju pada hari ini.

Murtad

Dalam Islam, perkara yang paling kurang difahami oleh bukan Islam ialah isu murtad.

Penerangan insentif perlu diberikan kepada semua mengenai apakah yang dimaksudkan murtad di dalam Islam, kerana dalam dunia bukan Islam, hak untuk membuat pilihan diutamakan, termasuk hak menentukan agama sendiri pada bila-bila masa.

Ia berbeza daripada Islam mengenai soal memillih agama. Islam bukan agama yang seseorang boleh masuk dan keluar sesuka hati. Ia bukan satu agama yang boleh ‘try dulu’. Di dalam Islam, perkara yang paling dilaknat ialah murtad, iaitu dalam erti kata lain, seorang yang Islam mengambil keputusan untuk meninggalkan Islam.

Orang bukan Islam sebenarnya sangat tidak memahami murtad daripada aspek ini, meskipun di dalam Islam, murtad adalah antara dosa paling dimurkai oleh Allah. Di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah: 217 dan An-Nahl: 106 ada menyatakan betapa beratnya hukuman Allah pada umatnya yang berpaling tadah pada agama sendiri.

Orang bukan Islam tidak faham mengapa orang Islam tidak dibenarkan meninggalkan Islam. Mereka tidak faham ancaman murtad kepada sistem Islam. Dan mereka tidak memahami adalah tanggungjawab semua umat Islam untuk menghindari murtad.

Inilah sebabnya penerangan intensif perlu diberikan. Objektifnya ialah supaya orang bukan Islam tahu apa yang perlu dijaga sekiranya mereka memilih untuk memeluk Islam.

Sebagai contoh, mana-mana bukan Islam yang ingin memeluk Islam kerana cinta dan perkahwinan perlu diberi kefahaman secukupnya terhadap sistem Islam yang bakal mewarnai kehidupannya. Tidak wajar mereka memeluk Islam tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku di alam kekeluargaan terutamanya pada hak penjagaan anak, lebih-lebih lagi jika perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

Orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam juga perlu diberi pemahaman dan galakan supaya memaklumkan keputusan itu kepada keluarga terdekat, meskipun terpaksa menghadapi bantahan. Ini boleh mengelakkan salah faham sekiranya berlaku kematian. Mereka perlu diberi kefahaman dalam Islam, adalah wajib bagi pihak berkuasa Islam untuk mengebumikan orang Islam dengan cara yang tertera di dalam Al-Quran.

Orang bukan Islam juga perlu diberi kefahaman agar tidak harus memeluk Islam untuk mengambil kesempatan kepada situasi politik, sosial, pendidikan dan sosial di Malaysia.

Contohnya, ada yang melakukannya secara terdesak kerana tekanan kehidupan, sehinggakan anak turut sama memeluk Islam bukan untuk beriman dengan Allah, tetapi demi sesuap nasi melalui bantuan zakat. Bukti mereka memeluk Islam hanya pada kad pengenalan yang bertukar nama dan tertera “Islam” di bawahnya walaupun tidak pernah mengerjakan sebarang ibadah Islam.

Apabila anak itu membesar, mereka tidak sedarpun mereka adalah orang Islam kerana mereka tidak dibesarkan dengan cara Islam dan ini akan menjadi masalah besar kepada mereka dan menimbulkan perbalahan antara agama yang tidak mengetahui asal-usul sejarah mereka.

Ada pula suami bukan Islam yang sengaja memeluk Islam, memaksa anaknya melakukan perkara yang sama di ambang penceraian dengan isteri bukan Islam demi menjaga hak penjagaan anak.

Ramai juga yang memeluk Islam untuk menjadi Melayu, terutama pendatang asing. Ada pendatang asing, yang setelah memeluk Islam, terus menjadi Melayu, dan mendapat kewarganegaraan untuk menikmati hak sebagai warga majoriti di negara ini. Yang peliknya, pejuang ketuanan Melayu tidak mengambil kisah terhadap perkara ini meskipun ancaman ini terang-terang akan mengurangkan hak orang Melayu yang asal daripada sudut ekonomi, pendidikan mahupun pekerjaan.

Penerangan sedemikian boleh dilakukan di forum. Kerajaan juga digalak menyebarkan maklumat ini di televisyen dan media semasa seperti apa yang kerajaan lakukan untuk GST. Ini boleh membantu mengurangkan kemelut agama yang berlaku pada masa kini. Susah untuk salahkan mereka yang terlibat dalam kemelut ini, apabila semuanya tidak mengetahui batas masing-masing.

Pihak berkuasa Islam perlu memberi perhatian kepada perkara ini. Kegagalan pihak berkuasa memberikan kefahaman yang secukupnya kepada mereka yang ingin memeluk Islam, dan menjaga dan menguatkan iman saudara yang baru memeluk Islam akan membawa padah akhirnya.

Kerana yang terpaksa melakukan kerja mengambil mayat daripada upacara pengebumian keluarga bukan Islam, menghentikan perkahwinan seorang Hindu yang beragama Islam dan bergelut di mahkamah mengenai hak penjagaan anak mualaf ialah mereka.

Nota: Jika ada kesilapan mengenai pemahaman agama Islam daripada penulis, mohon pencerahan di ruang komen. Ini membuktikan kata-kata penulis penerangan yang lebih perlu diberikan.

-By Timmy Say

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: