Tuesday 24 June 2014

Tentera-tentera tuhan


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 133 yang bermaksud: Lalu kami lepaskan banjir besar, angkatan belalang, kutu-kutu, katak-katak dan darah menyerang mereka sebagai bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tetap berlagak angkuh dan mereka adalah kaum yang berdosa.

Al-Sobuni berkata dalam tafsirnya Sofwah al-Tafasir: “Kami utuskan ke atas mereka hujan yang lebat sehingga membutakan mereka dan hampir-hampir binasa."

Sayyid Qutub berkata: “Kami telah diceritakan oleh Ibnu Humaid, katanya: “Kami telah diceritakan oleh Ya’qub al-Qummi daripada Ja’far Ibnu al-Mughirah, daripada Sa’id Ibnu Jubair katanya: “Apabila Musa mengadap Firaun, beliau berkata kepada Baginda: “Bebaskan kaum Bani Israel, keluar dari negeri bersama saya."

Firaun menolak permintaan itu, lalu Allah SWT menimpakan bencana banjir yang besar dengan menurunkan hujan yang lebat ke atas mereka, lalu mereka berkata kepada Musa: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghentikan hujan yang lebat itu. Kami berjanji akan beriman kepada engkau dan akan membebaskan kaum Bani Israel keluar bersama engkau."

Lalu Musa a.s berdoa kepada Allah SWT, tetapi mereka tidak jaga beriman kepada-Nya dan tidak pula membebaskan kaum Bani Israel keluar bersamanya.

Tanaman

Kemudian pada tahun itu juga Allah SWT menumbuhkan tanam-tanaman, pokok-pokok buah-buahan dan rumput-rampai yang amat subur, yang belum pernah berlaku sebelum ini. Lalu mereka berkata: “Inilah yang menjadi angan-angan kami."

Lalu Allah melepaskan angkatan belalang memakan rumput-rampai yang subur itu. Apabila mereka melihat kesan-kesan serangan belalang ke atas rumput-rampai itu, mereka yakin tanaman mereka akan musnah, lalu mereka berkata kepada Musa: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghapuskan serangan belalang daripada kami dan kami berjanji akan beriman kepada engkau dan membebaskan kaum Bani Israel pergi bersama engkau.

Lalu Musa pun berdoa kepada Allah SWT, lalu Dia telah menghapuskan bencana serangan belalang daripada mereka, tetapi mereka tidak juga beriman dan tidak pula membebaskan kaum Bani Israel.

Kemudian mereka melakukan kerja memukul pokok-pokok gandum dan menyimpannya di rumah-rumah mereka, lalu mereka berkata dengan bangga: “Semua hasil tanaman kami selamat disimpan." Tidak lama kemudian Allah SWT menghantar pula angkatan kutu iaitu serangan bubuk yang keluar daripada biji-biji gandum, lalu merosakkan gandum mereka sehingga jika seorang membawa 10 gantang untuk dikisar, maka hanya tiga cupak sahaja yang dapat diambil (iaitu kira-kira tiga persepuluh sahaja daripada biji-biji gandum yang dirosakkan oleh bubuk itu dapat diambil apabila dikisar!).

Lalu mereka merayu kepada Musa dan berkata: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghapuskan bencana bubuk daripada kami. Dan kami berjanji akan beriman kepada engkau dan membebaskan kaum Bani Israel pergi bersama engkau."

Musa sekali lagi berdoa kepada Allah, lalu Allah pun menghapuskan bencana itu daripada mereka, tetapi mereka tetap enggan membebaskan kaum bani Israel.

-Utusan

No comments: