Thursday 6 March 2014

Fahami kalimah Allah


PENYELESAIAN kepada isu kalimah Allah dapat dicapai secara baik sekiranya semua pihak terbabit memahami, menghormati dan mematuhi perlembagaan negara berkaitan Islam dan agama lain.

Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan panduan berkenaan perkara ini yang memberi hak sewajarnya kepada semua pihak.

Isu penggunaan perkataan Allah kembali hangat selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penggunaan perkataan itu dalam penerbitan akhbar The Herald edisi Bahasa Melayu pada akhir tahun lepas.

Letusan pendapat dan emosi penganut agama Islam dan Kristian yang berleluasa melalui portal berita dalam talian dan media sosial akhirnya membawa kepada berlakunya beberapa siri demonstrasi oleh pelbagai pihak.

Hal ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan erat rakyat berbilang agama yang telah hidup aman dan saling bertolak ansur yang telah terjalin sejak sebelum merdeka lagi.

Sungguhpun masih terdapat beberapa pihak yang berusaha membawa hal ini untuk didebatkan, ternyata majoriti rakyat Malaysia tidak mudah termakan dengan umpan beracun ini.

Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata orang awam berbilang agama berpendapat isu ini telah dimanupulasi oleh pihak berkepentingan, dengan niat buruk untuk menghancurkan negara.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menjelaskan bahawa kegusaran dalam kalangan anggota masyarakat boleh dielakkan jika masing-masing memahami Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tiang asas pembentukan negara ini.

Perkara 3, perkara 11

Hanya ada dua fasal dalam perlembagaan negara yang menyentuh secara jelas mengenai kedudukan agama Islam iaitu dalam Perkara 3 dan Perkara 11.

Kedua-dua perkara ini sering dijadikan asas dan kayu ukur perbahasan yang membabitkan isu berkaitan kebebasan beragama di kalangan rakyat Malaysia.

Perkara 3 menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan, manakala Perkara 11 menyentuh larangan menyebarkan dakwah ajaran selain Islam kepada umat Islam.

“Mula-mula kita harus faham bahawa istilah ‘agama rasmi persekutuan’ bermaksud Islam adalah agama rasmi semua negeri di Malaysia, kecuali Sarawak kerana ia tidak dinyatakan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sarawak. Ia hanyalah satu konsep di peringkat persekutuan, tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap perlaksanaan dan penguatkuasaan agama Islam di negeri-negeri.

“Ketua agama setiap negeri adalah raja-raja. Yang di-Pertuan Agong bukanlah ketua agama Islam negara tetapi baginda bertindak sebagai ketua agama Islam di Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan) dan beberapa negeri lain yang tidak mempunyai raja," jelas Azam.

Meskipun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, Perkara 3 turut menjelaskan bahawa agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Beliau kemudian menyambung penjelasan mengenai Perkara 11 yang menyatakan tiap-tiap individu di negara ini berhak menganuti dan mengamalkannya, tetapi tidak dibenar mengembangkan ajaran mereka kepada orang beragama Islam.

“Anda boleh sebarkan ajaran agama anda kepada sesiapa pun. Tetapi dalam kurungan empat (4) perkara ini, undang-undang negeri dan persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam," jelas beliau.

Di sinilah selalu berlakunya kekeliruan. Pengertian ‘mengembangkan ajaran’ kepada orang Islam amat mudah disalah erti, jika tiada pengetahuan yang mendalam daripada aspek undang-undang mengenainya.

Penjelasan mengenai Perkara 3 dan Perkara 11 di atas menunjukkan bahawa secara umum, tiada larangan terhadap penggunaan mana-mana perkataan yang boleh dikaitkan dengan identiti Islam.

“Jika ia mahu digunakan secara tertutup, tidak melibatkan individu beragama Islam, tiada masalah.

“Ambil contoh, jika paderi Andrew mahu menggunakan ayat “Musim ini musim haji, orang Islam pergi ke Makkah mengelilingi Kaabah sebagai tanda ibadah mereka kepada Allah" dalam ceramahnya kepada pengikutnya di gereja, itu tidak menyalahi undang-undang," jelas Azam.

Untuk makluman, perkataan ‘haji’, ‘Mekah’, ‘ibadah’ dan ‘Kaabah’ adalah antara perkataan lain selain ‘Allah’ yang dilarang penggunaannya oleh masyarakat bukan Islam menurut Enakmen 1988 Negeri Selangor.

Enakmen itu turut menguatkan lagi Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan orang bukan Islam mengembangkan ajarannya kepada orang Islam.

“Istilah ‘mengembangkan ajaran’ boleh diertikan dengan cara pujuk rayu, paksaan atau memberi sebarang pemberian berkenaan agama (bukan Islam) tentang agamanya kepada orang Islam," kata Azam.

Ini termasuklah aktiviti mengedarkan naskah Al-Kitab kepada orang Islam dan buku-buku dan komik-komik yang mengajarkan tentang konsep trinity kepada pelajar sekolah beragama Islam.

Beliau turut menjelaskan hal di mana orang bukan Islam perlu menggunakan istilah ‘Allah’ dalam keadaan tertentu, contohnya, pelajar sekolah menyanyikan lagu negeri yang terdapat perkataan Allah dalam liriknya.

“Contohnya, lirik ’... Allah lanjutkan usia Tuanku...’ dalam lagu negeri Selangor. Itu tidak salah jika dinyanyikan orang bukan Islam kerana ia bukan satu bentuk dakwah." Tegas Azam, walaupun ada pihak yang berpendapat bahawa undang-undang berkaitan agama Islam tidak tertakluk ke atas orang bukan Islam, Enakmen 1988 ada satu ciri istimewa iaitu ia diwartakan sebagai undang-undang sivil negeri Selangor.

“Jika ada pihak yang langgar peraturan ini, mereka boleh didakwa di mahkamah," kata beliau.

Allah - Bolehkah?

Perbalahan paling hangat mengenai penggunaan perkataan Allah. Berlandaskan hujah-hujah yang telah dinyatakan Azam, jelas menunjukkan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakannya jika menepati syarat.

Penggunaan perkataan ’Allah’ dalam kalangan penganut Kristian tidak pernah menimbulkan masalah sehinggalah sejak akhir-akhir ini kerana penggunaannya yang tidak terkawal.

“Menggunakan perkataan ’Allah’ itu sendiri adalah satu bentuk ‘prima facie’(bukti awal) bahawa terdapat niat untuk mengembangkan ajaran itu.

Menterjemah perkataan ‘god’ kepada ’Allah’ itu sendiri mengelirukan umat Islam kepada kepercayaan bahawa Allah orang Islam dan Allah orang Kristian itu sama," jelas Azam.

Azam kemudian menjelaskan, Allah bagi orang Islam ialah hanya satu, Allah yang Maha Esa tetapi bagi orang Kristian, konsep Trinity dalam ketuhanan,tidak boleh diterjemah kepada perkataan Allah sebagaimana dianuti orang Islam.

“Perlu kita sedar bahawa kes yang dibicarakan di mahkamah, yang menjadi isu hangat hari ini sedikit pun tidak menyentuh tentang penggunaan perkataan Allah dalam Al-Kitab, tetapi hanyalah penggunaannya dalam penerbitan majalah The Herald edisi Bahasa Melayu sahaja.

“Isu penggunaan perkataan Allah dalam Al-Kitab masih belum pernah dibawa ke mahkamah hingga ke hari ini," ujar beliau.

“Hari ini, kita bercakaran sesama kita angkara situasi ini, sehingga saudara kita di Sabah dan Sarawak juga terasa hati," ujar Azam yang kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

“Mari kita tunjukkan perbalahan Islam dan Kristian adalah sia-sia dan kita tidak mudah diperalatkan demi kepentingan politik sempit mereka," seru beliau tanpa merujuk kepada mana-mana pihak secara terbuka.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk menterbalikkan situasi ini daripada perbalahan menjadi ruang perbincangan yang luas, demi menggalakkan kefahaman sesama warga Malaysia.

“Ini adalah peluang terbaik untuk umat Islam berdakwah, menjelaskan perbezaan fahaman tentang konsep ketuhanan yang satu berbanding konsep ’trinity’. Belajarlah daripada pendakwah Islam ternama," katanya.

Azam turut menasihatkan penganut Kristian bahawa sekali pun ada perbuatan mereka yang tidak salah daripada segi undang-undang, agar tidak menyatakan atau membuat sesuatu yang menyakitkan hati orang Islam kerana ia boleh menambahkan ketegangan yang sedang berlaku.

Nasihat beliau lagi, orang Islam pula jangan terlalu mudah menyalahkan orang bukan Islam, selagi mereka tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan yang melarang dakwah terhadap orang Islam.

- BERNAMA/Utusan

No comments: