Wednesday 19 February 2014

Perbanyakkan zikir, doa dalam sujud


Pergerakan dalam solat ketika sujud adalah gambaran terbesar kehambaan kita kepada Allah SWT. Sujud keadaan yang paling hampir seseorang hamba itu kepada penerimaan Tuhannya maka perbanyakkan zikir dan doa ketika sujud. Rasulullah SAW bersabda: “Paling hampir seorang hamba itu dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud maka perbanyakkan doa.” (Riwayat Muslim) Maksud hampirnya hamba itu kepada Allah SWT adalah dekat penerimaan segala permohonan, rasa rendah dirinya kepada Allah, bukan hampir dari segi tempat atau ruang makhluk kerana zat Allah bukan di kiri, kanan, belakang, depan, atas atau bawah. Begitu juga lafaz yang disebut bererti Maha Suci Tuhan Yang Tinggi Keagungan-Nya bukan bererti tinggi tempat kerana Allah SWT ada tanpa bertempat. Sementara itu, tiada didikan yang amat mulia melainkan memberi tarbiah kepada anak supaya memelihara akidah dan solat lima waktu. Kalam ulama muktabar Imam Syeikhul Islam Abdullah al-Harari memetik sabda Baginda Rasulullah SAW: “Wajib ke atas penjaga kanak-kanak sama ada perempuan atau lelaki yang telah mumayyiz iaitu telah mula boleh memahami sesuatu ketika berumur tujuh tahun ke atas ibu bapanya hendaklah menyuruh anaknya menunaikan solat dan mengajar keduanya hukum hakam solat serta memukul keduanya setelah berumur 10 tahun jika sengaja meninggalkan solat begitu juga pada puasa yang selagi dia mampu.” Ibnu ‘Abbas ketika berehat sebentar di rumah ibu saudaranya, Maimunah isteri Rasulullah, baginda yang pulang ke rumah terus bertanya: “Adakah Ibnu ‘Abbas telah solat.” (Riwayat al-Bukhari) Sejurus Nabi Muhammad SAW pulang ke rumah, baginda terus bertanya akan solat terhadap anak di bawah jagaannya. Ini menunjukkan penting memerhatikan orang bawahan kita terutama anak-anak supaya sentiasa memelihara solat. Ucapan setinggi-tingginya tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak untuk menjaga solat sekalipun berada di negara barat yang agak sarat dengan gejala sosial demi melahirkan generasi yang beramal dengan agama Islam dan cinta akan solat. Oleh Mohd Rasyiq Mohd Alwi-BH

No comments: