Thursday 7 November 2013

Lelaki amuk minta duit ‘reda’ dapat RM2

Kuala Terengganu: Seorang anak layak digelar anak derhaka apabila tergamak mengacukan pisau ke arah ibu dan ahli keluarganya selepas berang hanya diberikan wang RM4 dalam kejadian di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Teluk Ketapang, Telaga Daing, di sini, Sabtu lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 12.45 tengah hari ketika mangsa berusia 51 tahun sedang berehat di rumahnya bersama suami lingkungan 50-an dan ahli keluarga lain, sebelum didatangi suspek.
Katanya, suspek berusia 22 tahun meminta wang daripada mangsa kononnya untuk membeli barang, tetapi pasangan suami isteri itu hanya memberikan wang RM4.

“Dalam kejadian itu, senjata digunakan suspek hampir terkena seorang adik perempuannya. Melihat suspek yang semakin agresif, ahli keluargnya melarikan diri ke rumah kakak sulungnya dalam lingkungan 20-an.
“Suspek yang masih tidak berpuas hati kemudian ke rumah seorang lagi kakaknya sebelum wanita terbabit memberikan RM2 kepada adiknya kerana bimbang dia akan bertindak agresif,” katanya.
Sumber berkata, selepas mendapat wang yang dikehendaki, suspek beredar meninggalkan rumah kakaknya.
Katanya, sebelum ini, suspek yang juga penagih dadah kerap mengamuk bagi menakutkan mangsa dan ahli keluarga lain jika permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi.
Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan dia dan ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut sebelum suspek ditahan di rumahnya awal pagi semalam.
Sementara itu, Majistret Noradila Ab Latif membenarkan suspek direman empat hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

-Metro

No comments: