Friday 11 October 2013

'Derita angkara Chin Peng'

 
               'Derita angkara Chin Peng'
Che Manis menyiram air mawar ke atas pusara arwah suaminya selepas majlis gotong-royong dan tahlil untuk Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datok, Tapah, semalam.

Tapah: "Bukan saja abu Chin Peng, malah namanya juga saya tidak mahu ingat,” kata Che Manis@Latifah Abdullah, 77, balu kepada wira negara, Allahyarham Asisten Superintendan Mohd Zabri Abdul Hamid.

Che Manis yang kehilangan suaminya, seorang perintis pasukan elit komando VAT69 kerana terkorban ketika bertempur dengan komunis pada 4 September 1975, berkata kekejaman komunis membuatkannya menderita sejak 38 tahun lalu.      
“Hanya mereka yang mengalami kehilangan insan tersayang akibat kekejaman komunis akan mengerti perasaan kami,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis gotong-royong dan tahlil untuk Allahyarham suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datok, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, serta bekas anggota dan pegawai VAT69 termasuk rakan seperjuangan Allahyarham Mohd Zabri.

Pada majlis itu, Che Manis dan beberapa pesara VAT69 turut menyiram air mawar serta menabur bunga di atas pusara Allahyarham.

Che Manis berkata, dia membantah cadangan pihak tertentu yang berusaha untuk membawa pulang abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

Punca huru-hara

“Chin Peng dan pengikutnya bertanggungjawab mewujudkan huru-hara dan bertindak ganas terhadap rakyat serta anggota keselamatan yang bertugas menjaga keamanan negara.

“Sudah ramai rakyat dan anggota pasukan keselamatan kita terkorban demi mempertahankan negara daripada dijajah komunis,” katanya.

Pijak jerangkap samar

Mohd Zabri yang menyertai pasukan VAT69 pada Julai 1970, terbunuh selepas terpijak jerangkap samar di kawasan berdekatan Gerik ketika bertempur dengan komunis.

Bagi memperingati keberanian dan jasa Allahyarham menentang musuh negara, sebuah kem latihan VAT69 Komando Pasukan Gerak Khas di Tasik Banding, Gerik dinamakan sebagai Kem Zabri.
 
-BH

No comments: