Friday 6 September 2013

Pegangan Zaidiah mirip Ahli Sunah

Dua kumpulan besar Syiah sudah kita ikuti dalam penerangan siri lalu iaitu Ghulat dan al-Kaisaniah. Kali ini kita teruskan dengan dua lagi kumpulan iaitu Zaidiah dan Imamiah.
 
Zaidiah - iaitu pengikut Zaid bin Ali bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib. Mereka digelar sebagai Zaidiah kerana berpegang kepada kata-kata Zaid bin Ali yang mengutamakan Ali bin Abu Talib lebih daripada sahabat Rasulullah SAW yang lain.
Beliau bagaimanapun memperakui Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah, malah berpendapat bahawa harus bagi umat Islam menentang imam (pemimpin) yang zalim.

Apabila beliau berada dalam kalangan pengikutnya dan mendengar ada yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau mengingkari orang terbabit.

Justeru, mereka yang sudah memberi bai’ah kepadanya meninggalkannya. Namun, nama Zaidiah kekal diberi kepada pengikut yang tetap terus bersamanya.

Bagi golongan ini imam mereka adalah daripada keturunan Fatimah dan tidak boleh berpindah kepada selainnya.

Mereka mengharuskan imam selain daripada keturunan al-Hasan dan al-Husain apabila seseorang itu memenuhi syarat seperti mesti berilmu, zuhud, berani dan pemurah yang wajib ditaati.

Dikatakan mereka adalah puak Syiah yang mempunyai pegangan paling hampir kepada Ahli Sunah kerana menerima Khalifah Abu Bakar dan Umar, kecuali satu kumpulan daripada mereka dinamakan al-Jarudiah.

Puak yang masyhur daripada kumpulan ini ialah al-Jarudiah, al-Sulaimaniah, al-Solihiah dan al-Banziah.

Al-Imamiah - iaitu golongan yang berpegang kepada pendapat bahawa Saidina Ali adalah imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas menyebut nama Ali.

Asy-Syahrastani mendefinisikan mereka dalam buku al-Malal dan al-Nahl dengan berkata: “...al-Imamiah adalah mereka yang berpendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah dengan cara dalil nas yang jelas dan bukan melalui cara isyarat dengan sifat tertentu, tetapi dengan pelantikan jelas...”

Antara kumpulan Syiah al-Imamiah ialah:

Imam Dua Belas. Mereka dinamakan demikian kerana mereka mempercayai bahawa terdapat 12 imam selepas Rasulullah SAW.

Imam ini bagi mereka adalah kebanyakan imam Syiah dalam kalangan puak Syiah di dunia sekarang yang dikenali sebagai al-Imamiah. Apabila disebut lafaz al-Imamiah ia bererti Imam Dua Belas.

Al-Ismailiah iaitu golongan Syiah yang berpendapat bahawa imam selepas Jaafar adalah anaknya, Ismail bin Jaafar.

Selepas kematian Ismail, mereka berpecah menjadi dua kumpulan. Pertama adalah kumpulan yang menunggu-nunggu kemunculan Ismail bin Jaafar kerana mereka percaya bahawa Ismail tidak mati.

Kumpulan kedua pula mempercayai imam selepas Jaafar ialah Muhammad bin Ismail kerana Jaafar sudah melantik anaknya, Ismail sebagai imam selepasnya.

Apabila Ismail meninggal dunia sewaktu ayahnya masih hidup, mereka percaya bahawa Jaafar melantik anaknya, Ismail sebagai imam sebenarnya untuk menunjukkan bahawa imam selepasnya yang sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail.

Kemudian mereka berpecah menjadi kumpulan yang banyak dengan pandangan yang pelbagai. Mereka juga mempunyai gelaran yang banyak.

Antara yang termasyhur ialah al-Bathiniah kerana bagi mereka, setiap hukum yang zahir ada batinnya atau kerana mereka berpendapat bahawa imam juga wujud dalam keadaan batin atau terselindung.

Syiah di Malaysia

Ada tiga kumpulan Syiah yang besar sepanjang sejarah mereka dan masih kekal sehingga hari ini iaitu Syiah Imam Dua Belas (Ja‘afariyah), al-Ismailiah dan Zaidiah.

Sebahagian pengkaji berpendapat, sekiranya istilah Syiah disebut, ia terus merujuk kepada Syiah Imam Dua Belas atau selain mereka sama ada Syiah al-Ismailiah atau Zaidiah.

Ini kerana sumber rujukan Syiah Imam Dua Belas mengandungi kebanyakan pendapat dan prinsip golongan Syiah yang lain.

Malah, Syiah Imam Dua Belas juga dikenali sebagai Ja’afariyah iaitu golongan Syiah terbesar dan wujud hingga ke hari ini.

Umumnya, umat Islam di Malaysia pengikut Mazhab Syafie dan tiada pengetahuan mengenai mazhab Ahli Sunah lain, apatah lagi untuk memahami mazhab Syiah yang mereka tidak ada kaitan langsung dengannya.

Gelombang Syiah di Malaysia berkembang selepas berlakunya peristiwa penaklukan Iraq (oleh Amerika) dan selepas perang Hizbullah - Israel di Lubnan.

Dalam keadaan ini, umat Islam di Malaysia yang tidak mempunyai maklumat mengenai Syiah tidak menyedari hakikat dan niat tersembunyi di sebalik pendekatan yang bermula dengan strategi dan slogan mendekatkan hubungan antara mazhab serta percantuman budaya dan tamadun antara bangsa.

Bersambung

Penulis ialah Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

-Metro

No comments: